Site Last Updated 11:03 am, Friday

Kes maut tempat kerja tinggi

by Rusnan Mustafa. Posted on July 13, 2012, Friday

KUCHING: Sarawak kekal mencatat rekod tertinggi dari segi kes maut dalam kemalangan di tempat kerja.

Perkara itu didedahkan oleh Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP)Negeri Dasuki Mohd Heak yang turut memberitahu bahawa Sarawak masih jauh di belakang dari segi memartabatkan keselamatan dan kesihatan pekerjaan di tempat kerja jika dibandingkan negeri lain.

Beliau menjelaskan sehingga April 2012, sebanyak 17 kes maut dicatatkan yang merupakan jumlah tertinggi berbanding negeri lain.

“Apabila perbandingan dibuat di peringkat nasional sehingga April tahun ini, bagi kes maut Sarawak memegang rekod tertinggi iaitu sebanyak 17 kes.

“Data-data ini menunjukkan bahawa kita di Sarawak masih jauh di belakang dari segi memartabatkan keselamatan dan kesihatan pekerjaan di tempat kerja jika dibandingkan dengan negeri lain di Semenanjung Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian seminar sempena sambutan Minggu Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Sarawak 2012 yang dirasmikan oleh Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) JKKP Malaysia Zabidi Md Adib di Pustaka Negeri dekat sini semalam.

Dasuki menambah kadar kemalangan yang berlaku di tempat kerja turut mencatatkan peningkatan iaitu daripada 2010 hingga 2012.

“Pada 2010 kes kemalangan dilaporkan adalah sebanyak 313 kes yang terbahagi kepada 21 kes maut, 18 kes hilang upaya kekal dan 274 kes tidak hilang keupayaan kekal.

“Pada 2011, kes kemalangan mencatat jumlah 355 kes, melibatkan 20 kes maut, 48 kes hilang keupayaan kekal dan selebihnya tidak hilang keupayaan kekal,” katanya.

Jelasnya, jumlah itu terus meningkat pada 2012 iaitu setakat ini sebanyak 331 kes dilaporkan melibatkan 31 kes maut, 33 kes hilang keupayaan kekal dan selebihnya tidak hilang upaya kekal.

“Kita tidak boleh selesa dengan kadar kemalangan iaitu 3.4 pekerja kepada 1,000 pekerja yang kita pegang sekarang ini sedangkan kadar kematian pekerja agak tinggi iaitu 15 orang kepada 100,000 pekerja,” kata Dasuki.

Beliau memberitahu perkara itu boleh merugikan negara terutama sumber tenaga mahir jika masalah berkenaan terus berlaku di negeri ini.

Tegasnya, peningkatan jumlah itu mungkin disebabkan beberapa faktor iaitu pertambahan jumlah industri dan tahap kesedaran meningkat dalam melaporkan kemalangan kepada pihaknya.

“Kita perlu berubah, marilah kita sama-sama transformasikan keselamatan dan kesihatan pekerjaan untuk dipraktikkan supaya negeri ini akan menjadi lebih sejahtera dan mesra kepada pelabur asing,” ujarnya.

Print Friendly

We encourage commenting on our stories to give readers a chance to express their opinions; please refrain from vulgar language, insidious, seditious or slanderous remarks. While the comments here reflect the views of the readers, they are not necessarily that of Borneo Post Online. Borneo Post Online reserves the right not to publish or to remove comments that are offensive or volatile. Please read the Commenting Rules.