Taib diiktiraf ahli seumur hidup Muslim World League

0

AHLI SEUMUR HIDUP: Taib menerima dokumen pelantikan ahli seumur hidup Muslim World League daripada Saeed (tiga kiri) sambil disaksikan Daud (dua kanan) serta ahli rombongan lain.

KUCHING: Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud diiktiraf menjadi ahli seumur hidup Muslim World League (Rabitah al-Alam al-Islami), sekali gus menjadikan beliau satu-satunya ahli seumpama itu dari Sarawak khasnya dan Malaysia amnya.

Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam) Datuk Daud Abdul Rahman yang mengumumkan perkara itu berkata, ia merupakan satu penghormatan kepada kerajaan Sarawak terutama Ketua Menteri kerana dipilih oleh Rabitah.

“Ahli Rabitah ini kebanyakan ahlinya dari seluruh negara di dunia dan di seluruh Malaysia hanya ada seorang sahaja iaitu Yang Amat Berhormat Ketua Menteri, ini merupakan satu penghormatan kepada Sarawak khasnya Ketua Menteri.

“Beliau dilantik atas sumbangan yang diberikannya dalam Majlis Dakwah Islam Serantau untuk Asia Tenggara dan Pasifik (RISEAP), yang juga merupakan presiden dan beliau begitu banyak menyumbang kepada masyarakat Islam bukan sahaja di Sarawak tetapi di Asia Tenggara dan Asia Pasifik,” katanya ketika ditemui pemberita.

Daud terdahulu mengiringi rombongan Muslim World League yang diketuai Pengarah Pejabat Muslim World League Dr Saeed N. Al Hazmi mengunjungi Taib di pejabatnya di Wisma Pelita di sini, semalam.

Menurut Daud, Taib mampu menerajui banyak pergerakan Islam untuk kebaikan sepanjang beliau menjadi Presiden RISEAP pada 1988 hingga kini.

“Beliau (Taib) menggerakkan banyak pergerakan Islam untuk kebaikan dan bukannya untuk membezakan mereka yang bukan Islam.

“Selain itu beliau membantu masyarakat Islam bukan sahaja dari segi kewangan tetapi juga mencari sumber pendapatan dan disebabkan sumbangan sebegini Ketua Menteri dipilih menjadi ahli Rabitah seumur hidup,” tegas Daud.

Daud memberitahu Rabitah yang berpangkalan di Mekah mempunyai ahli-ahli dari Arab Saudi dan negara bukan Islam seperti Thailand dan Filipina.

Inisiatif untuk membentuk RISEAP timbul daripada persidangan yang dianjurkan bersama oleh Pertubuhan Ke-bajikan Islam Malaysia (PERKIM) dan Rabitah yang diadakan di Kuala Lumpur pada Januari 1980.

Pada persidangan sulung pada 1980, Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj telah dipilih sebulat suara sebagai Presiden RISEAP dan Taib sebagai Timbalan Presiden dari 1980 hingga 1988.

Selepas Tunku Abdul Rahman meletakkan jawatan pada 1988, Taib kemudian dipertanggungjawabkan untuk menerajui RISEAP sebagai Presiden sehingga hari ini.