Imigresen anggar kutipan hasil RM200 juta tahun ini

0

KOTA KINABALU: Jabatan Imigresen menganggarkan kutipan hasil sehingga RM200 juta menerusi pelbagai aktiviti pada tahun ini.

Menurut Pengarahnya, Mohammad Mentek, menerusi kutipan-kutipan berkenaan, ianya mampu membantu kerajaan dari segenap segi khususnya aktiviti pembikinan pasport, visa, levi, proses Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) dan denda serta hukuman.

Berdasarkan statistik pada tahun lepas, pihaknya telah berjaya mengutip lebih RM177 juta hasil daripada pelbagai punca dan kutipan berbanding tahun sebelumnya iaitu sekitar RM120 juta sahaja.

“Kutipan yang paling tinggi pula berpunca daripada hasil levi iaitu lebih RM100 juta untuk tahun lalu,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Pertandingan Menembak Jabatan Imigresen negeri di Padang Sasar, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Sepanggar, dekat sini kelmarin.

Turut hadir, Timbalan Pengarah Imigresen negeri (Pengurusan), Zaharudin Izham Zulkifli dan Pengarah Imigresen Wilayah Persekutuan Labuan, Sarbini Husin.

Mohammad berkata, untuk enam bulan pertama ini, Imigresen berjaya mengumpul lebih RM100 juta hasil pendapatan yang mana menyaksikan pungutan tertinggi daripada daerah Sandakan diikuti Tawau dan Lahad Datu.

“Ini kerana ketiga-tiga daerah ini sebenarnya mempunyai banyak ladang kelapa sawit di mana pemiliknya menggunakan pekerja buruh yang diambil dari negara lain dan memerlukan pelbagai proses dengan imigresen,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata berdasarkan pendapatan terkumpul selama lima tahun sejak 2007 hingga tahun lalu, jabatannya berjaya mengumpul kutipan lebih RM800 juta hasil untuk kerajaan.

“Oleh itu, kita menjangkakan mampu mencapai hasil kutipan untuk kerajaan sebanyak RM1 bilion berdasarkan jumlah terkumpul sepanjang lima tahun lalu,” katanya.