Kerajaan sokong inisiatif tingkat kecemerlangan

0

Kerjasama di antara ibu bapa dan guru harus diteruskan untuk mengatasi sebarang masalah: Chin

MIRI: Kerajaan memberi sokongan berterusan kepada ibu bapa dan guru dalam usaha untuk meningkatkan kecemerlangan anak-anak dalam bidang akademik dan kokurikulum.

Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Peter Chin Fah Kui berkata, kerjasama di antara ibu bapa dan guru-guru perlu diteruskan agar setiap masalah atau keperluan di sekolah dapat diselesaikan.

“Kita bangga dengan usaha yang ditunjukkan pihak Sekolah Kebangsaan (SK) Jalan Bintang dan ibu bapa yang gigih berusaha mengumpul dana bagi tujuan pembinaan dewan serba guna,” katanya pada majlis Trekton Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Jalan Bintang di sini, semalam.

Teks ucapan beliau yang juga Ahli Parlimen Miri dibacakan oleh Setiausaha Politiknya, Datuk Sebastian Ting.

Chin berkata, sekolah terbabit amat memerlukan sebuah dewan serba guna untuk aktiviti-aktiviti luar murid seperti perhimpunan, aktiviti kokurikulum, pendidikan jasmani dan sebagainya.

“Malah, keadaan bertambah susah apabila cuaca panas dan hujan. Ini menyukarkan guru-guru untuk menjalan-kan aktiviti jasmani bahkan perhimpunan pelajar juga tidak dapat diadakan,” jelasnya.

Sehubungan itu, Chin memuji sikap dan keprihatinan PIBG yang berusaha menganjurkan program itu semata-mata untuk mengumpul dana yang mencukupi bagi tujuan membina dewan serba guna.

Pihak sekolah, katanya, telah berjaya mengumpul kira-kira RM57,000 untuk tujuan pembinaan dewan terbabit seterusnya beliau mengumumkan dana RM20,000 daripada geran Projek Kecil Luar Bandar (MRP).

Mengulas mengenai program trekton itu, beliau berkata, selain dapat menjamin kecergasan, kecerdasan minda dan kesihatan, aktiviti sukan juga yang melibatkan murid pelbagai kaum dan agama dapat memupuk perpaduan.

“Aspek ini juga sangat penting dalam usaha kerajaan untuk membina negara bangsa dan membangunkan modal insan selaras dengan Falsafah Pendidikan Negara dan Pelan Induk Pembangunan Pendidikan,” jelasnya.

Tambah beliau, sukan bukan sahaja dapat mengekalkan kesihatan fizikal malah membina kekuatan mental seperti mengawal emosi, fokus, menyusun strategi dan membina semangat berpasukan.

Hadir sama Yang Dipertua PIBG SK Jalan Bintang Abdul Manaf Ismawi, dan Guru Besar SK Jalan Bintang Wong Siah Mee.