Home - Utusan Borneo - Berita Sabah - SFPA Sandakan terima 18,885 klien tahun lalu

SFPA Sandakan terima 18,885 klien tahun lalu

Posted on July 15, 2012, Sunday

SANDAKAN: Persatuan Perancang Keluarga Sabah (SFPA) Cawangan Sandakan di sini merekodkan seramai 18,885 klien yang datang mendapatkan perkhidmatan di klinik mereka, tahun lalu.

Pengerusinya, Johnny Chong Pen Chin berkata SFPA juga telah menerima 1,528 klien untuk ujian pap smear dan 5,779 klien untuk ujian payudara bagi tempoh yang sama.

“Bilangan yang semakin meningkat setiap tahun jelas menunjukkan SFPA komited dalam memenuhi objektif penubuhannya iaitu untuk menyokong, mempromosi, memberi informasi serta menawarkan perkhidmatan reproduktif kesihatan berkaitan lelaki dan wanita.

“Ia juga termasuk untuk menyokong dan menyebarkan informasi dan pengetahuan relevan berkaitan pendidikan kehidupan keluarga, pembangunan keluarga, populasi serta perancangan keluarga,” katanya pada perjumpaan tahunan di sini, kelmarin.

Perjumpaan itu diadakan sebagai penghargaan terhadap sumbangan, sokongan dan galakan daripada doktor sukarelawan, sukarelawan, penasihat undang-undang dan kakitangan.

Hadir sama pada perjumpaan itu, mantan Pengerusi SFPA Cawangan Sandakan, Sien Shun Kiong.

Pada perjumpaan itu, persatuan berkenaan turut menyampaikan dua anugerah ‘Long Service’ kepada kakitangan SFPA, Wee Siew Fong atas sumbangannya kepada persatuan selama 20 tahun.

Selain itu, anugerah sama turut diberikan kepada Lau Yuk Yin, yang telah menjadi sukarelawan lebih 10 tahun.

Sementara itu, beliau turut memberitahu orang ramai kini boleh mendapatkan vaksin Human Papilloma Virus (HPV) di pusat SFPA dengan harga yang berpatutan.

Print Friendly

To enable your comment to be published, please refrain from vulgar language, insidious, seditious or slanderous remarks. This includes vulgar user names.

Comments are closed.