Home - Utusan Borneo - Berita Sabah - Dua lelaki tidak mengaku salah edar syabu
Dua lelaki tidak mengaku salah edar syabu
Posted on July 16, 2012, Monday
KOTA KINABALU: Mahkamah Tinggi di sini, menetapkan pada 13 hingga 15 Ogos tahun ini sebagai tarikh bicara terhadap dua lelaki atas pertuduhan mengedar syabu jenis Methamphetamine.
Pesurujaya Kehakiman Lee Hen Cheong membuat keputusan itu terhadap Jaswant Singh A/L Ranjit Singh, 21, dan Eswaran A/L Susop, 21, yang diwakili peguam PJ Perira selepas mengaku tidak bersalah.
Kelmarin, Timbalan Pendakwaraya Uma Devi Balasubramanian memberitahu mahkamah seorang penterjemah Tamil dari Mahkamah Shah Alam telah hadir di mahkamah dan memohon pertuduhan dibacakan dalam bahasa Tamil terhadap kedua-dua tertuduh.
Jaswant didakwa mengedari syabu seberat 780.2 gram, pada 18 Mac tahun ini jam 1 petang, di Balai Ketibaan Terminal 2, LCCT Air Asia, Tanjung Aru, di sini.
Manakala Eswaran dituduh mengedar syabu seberat 770.0 gram, pada hari dan tempat yang sama.
Sekiranya disabitkan bersalah, kedua-dua tertuduh boleh dijatuhkan hukuman gantung mandatori, yang didakwa mengikut Seksyen 39 B (1) (a)/39 B (2) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Uma juga memaklumkan pihaknya menganggarkan akan memanggil seramai 20 saksi bagi memberikan keterangan kes terhadap Jaswant dan Eswaran.
Di Mahkamah Seysen, seramai 10 lelaki warga asing dijatuhkan hukuman penjara dan sebat oleh Mahkamah Sesyen di sini kelmarin atas kesalahan memasuki negeri ini secara haram.
Hakim Azreena Aziz menjatuhkan hukuman itu terhadap Bobong Salbadoi, 36, Imran Malinta, 50, Alan Nasir, 25, Arman Majid, 20, Sabri Nordin, Salleh Montahay, Sarif Mohd Hading, 28, Robi Jawari, 30, Alawi Jawari, 35, dan Anni Abdul Rajam, 37.
Robi, Alwa dan Anni, masing-masing dijatuhkan hukuman penjara enam bulan dan satu sebatan rotan. Manakala Imran dan Arman dipenjara empat bulan. Sementara yang selebihnya dijatuhkan hukuman penjara empat bulan dan satu sebatan.
Semua tertuduh melakukan kesalahan itu dari 2 hingga 9 Julai tahun ini, di tempat berbeza seperti Kota Kinabalu, Luyang, Sipitang, Beaufort, Kota Belud, dan Donggongon.
Atas kesalahan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 6 (1)(c) Akta Imegresen 1956/63, yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM10,000 atau penjara sehingga lima tahun, atau kedua-duanya sekali, serta tidak lebih enam kali sebatan.
<< Previous Entry - Next Entry >>



