Home - Utusan Borneo - Berita Sabah - Lelaki ditemui lemas terjatuh dari air terjun
Lelaki ditemui lemas terjatuh dari air terjun
by RUZAINI ZULKIFLI ruzainiUB@gmail.com. Posted on July 16, 2012, Monday
KOTA KINABALU: Aktiviti riadah pada hujung minggu bertukar menjadi mimpi ngeri apabila seorang lelaki tempatan lemas setelah beriadah bersama tiga lagi rakannya berhampiran kawasan air terjun Kampung Mostin, Kunak, di pantai timur Sabah.
Mangsa dikenali sebagai Jimycol Jupin, 23, ditemui oleh anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dengan bantuan penduduk kampung sekitar jam 9.30 pagi tidak jauh dari kawasan dia dilaporkan hilang.
Pada kejadian kira-kira jam 4.15 petang Ahad itu, mangsa dikatakan hanyut disebabkan arus deras sebelum terjatuh ke dalam air terjun setinggi empat meter. Arus deras itu juga dikatakan berpunca daripada hujan lebat yang melanda.
Ketua JBPM cawangan Kunak, Abdul Kadir Halalan berkata pihaknya telah menerima panggilan sekitar jam 4.30 petang hari berkenaan.
“Seramai lapan anggota yang diketuai saya sendiri bergegas ke lokasi kejadian untuk menjalankan operasi mencari dan menyelamat.
“Bagaimanapun, operasi dihentikan pada jam 6 petang berikutan cuaca buruk dan hari semakin gelap,” katanya.
Abdul Kadir berkata, operasi kemudian disambung semula pada jam 7 pagi kelmarin dan mayat mangsa akhirnya ditemui pada jam 9.30 pagi.
Mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Kunak oleh polis untuk bedah siasat sebelum dituntut oleh keluarganya untuk dikebumikan.
<< Previous Entry - Next Entry >>



