Pendidikan teknikal semakin penting

0

SARIKEI: Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (PTLV) akan menjadi lebih kritikal untuk memacu pembangunan tenaga mahir dan separuh mahir bagi mengisi 1.3 juta peluang pekerjaan yang bakal wujud di Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE) menjelang 2030.

Langkah, penglibatan dan peluang mengikuti PTLV ini sewajarnya dimanfaatkan oleh masyarakat bermula dari saat ini, sekiranya mereka tidak mahu 1.3 juta peluang pekerjaan terbabit diisi oleh pekerja asing, kata Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Promosi Pendidikan Teknikal) dan Menteri Muda Alam Sekitar Datu Len Talif Salleh.

Kata Len, anak-anak Sarawak harus berani dan bersedia mendapat pendidikan PLTV sebagai pilihan utama dan menyingkirkan tanggapan bahawa PTLV dalam kelas kedua kerjaya serta berpendapat bahawa bidang ini tidak popular.

“Kerajaan dengan Program Transformasi Kerajaan (GTP) yang turut disertai dengan pelan Transformasi Modal Insan melalui pendekatan pendidikan adalah berobjektif untuk melahirkan masyarakat yang berkemahiran dan berdisiplin.

“Pada masa sekarang permintaan terhadap tenaga kerja mahir dan separuh mahir adalah amat tinggi.

“Menjelang tahun 2020 sahaja, seramai 3.3 juta pekerjaan bakal wujud melalui pelbagai program dan pelan tertentu kerajaan.

“Daripada jumlah tersebut, 60 peratus peluang yang wujud itu adalah terbuka kepada pekerja yang mempunyai kemahiran dalam kategori tinggi dan sederhana,” kata Len.

Beliau berkata demikian pada majlis perasmian Program Tegas Jelajah Sekolah, kelmarin.

Program ini adalah anjuran Tabung Ekonomi Anak Bumiputera Sarawak (TEGAS) dan telah berlangsung di Dewan Suarah Sarikei.

Tambah Len, berdasarkan perangkaan yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Negeri Sarawak, pada masa ini terdapat sebanyak 591,584 daripada 973,000 tenaga buruh Sarawak adalah berusia dari 15 hingga 64 tahun.

“Ini bermakna 60.8 peratus bilangan ini dapat memberi sumbangan yang positif kepada pembangunan negeri ini jika mereka dibekalkan dengan ilmu pengetahuan dan kemahiran.

“Selain itu, 35,000 lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada setiap tahun dan hanya 6,000 sahaja yang berpeluang memasuki Tingkatan Enam, manakala kira-kira 20 peratus sahaja yang berpeluang melanjutkan pelajaran di institusi pengajian tinggi awam dan swasta.

“Jadi dengan itu, bagaimanakah nasib 25,000 orang yang tidak berpeluang untuk melanjutkan pelajaraan mereka, dan apa yang pasti ialah mereka inilah yang bakal menjadi pekerja tidak mahir yang bakal dibayar dengan gaji yang rendah.

“Berdasarkan situasi itu, kerajaan telah bertindak melancarkan TEGAS yang bertujuan menyampaikan peluang-peluang pendidikan dalam bidang teknikal,” tegasnya.

Len turut menyeru kepada golongan belia di negeri ini agar memanfaatkan setiap peluang yang ada dengan sebaiknya agar tidak ketinggalan dan terlepas peluang keemasan untuk melakar masa depan yang lebih cerah lagi.

Pelbagai aktiviti telah dilakukan pada sepanjang program itu berlangsung iaitu ceramah daripada pihak TEGAS dan pameran oleh pihak-pihak yang menawarkan latihan teknikal.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif TEGAS Awangku Merali Pengiran Mohamad dan Residen Bahagian Sarikei Michael Dawi Alli.