Kesenian tidak perlu dicampur aduk

0

KOTA KINABALU: Kesenian tidak perlu dicampur adukkan dalam sesuatu persembahan bagi memelihara kejelasan sesuatu seni.

Dekan Sekolah Sains Sosial Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof Madya Inon Shahruddin Abd Rahman berkata kesenian itu harus berasingan yang dilihat sebagai sesuatu yang luhur dan murni melalui satu pakej khas dengan tujuan masing-masing.

Katanya, dari aspek kebangsaan, perpaduan antara masyarakat merupakan sesuatu yang abstrak.

“Perpaduan itu mujarab dalam memastikan kita bersatu padu dalam masyarakat tetapi tidak dari segi hal-hal seni…ia tidak boleh dicampur adukkan.

“Saya setuju dengan slogan 1Malaysia iaitu sebagai lambang perpaduan yang menunjukkan kita bersatu padu…tetapi saya tidak setuju jika kesenian itu dicampur, dirojakkan.

“Unsur-unsur tertentu itu kita harus bincangkan…kadang-kala saya risau sebab sesetengah slogan yang timbul hanya bertujuan semata-mata iaitu ‘terfikir sahaja tanpa difikir panjang’,” katanya pada Bicara Eksekutif ‘Seni dan Budaya dalam Norma Kehidupan, di sini kelmarin.

Sementara itu, Pengarah Bahagian Jabatan Warisan Negara Malaysia, Siri Neng Buah berkata dasar kebudayaan kebangsaan hendaklah dikaji semula mengikut konsep 1Malaysia pada hari ini terutamanya soal mengintegrasikan zon budaya.

“Zon-zon budaya ini adalah paling penting, kita ada sebanyak tujuh zon antaranya zon Sabah, Sarawak, timur dan selatan untuk digabungkan.

“Justeru, sudah sampai masanya kita memberikan perhatian yang besar terhadap seni dan budaya sebagai satu prasyarat dalam penciptaan landskap begara kita,” tegasnya.

Beliau berharap kesenian itu menjadi salah satu pandangan antara budaya yang unggul bagi menjana serta menentukan ketamadunan negara ini.

Dalam pada itu, seramai 76 peserta daripada pelbagai peringkat jawatan termasuk warga Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Sabah menghadiri bicara eksekutif yang membincangkan isu dan perkara yang berhubung kait dengan seni dan budaya.

Turut hadir, Timbalan Pengarah JKNN Sabah, Jasmi Rasit, Pensyarah Sekolah Pengajian Seni UMS, Dr Zairul Anuar Md Dawam dan tetamu kehormat yang lain.