Home - Utusan Borneo - Berita Sabah - Belia pakar sains dan teknologi diperlukan
Belia pakar sains dan teknologi diperlukan
Posted on July 19, 2012, Thursday
KOTA KINABALU: Masyarakat khususnya belia yang mahir serta mempunyai kepakaran tinggi dalam sains dan teknologi diperlukan bagi merealisasikan menjadi sebuah negara maju menjelang tahun 2020.
Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof Dr Mohd Harun Abdullah, percaya bahawa misi itu dapat dicapai melalui penambahan graduan jurusan sains dan teknologi pada setiap tahun.
“Masyarakat negara maju adalah masyarakat yang didokong dengan kemahiran serta kepakaran sains dan teknologi yang tinggi.
“Kepakaran yang ada bukan hanya setakat mencedok ilmu atau mengubahsuai sesuatu rekaan itu tetapi boleh mencipta, menambah dan memperbaharuhi,” katanya pada Majlis Penyampaian Sijil Asasi Sains ke-2 Pusat Persediaan Sains dan Teknologi (PPST), di sini kelmarin.
Pada majlis sama, Harun turut menyampaikan sijil Asasi Sains kepada 60 pelajar kohot kedua yang berjaya menamatkan pengajian mereka selama setahun.
Sementara itu, Pengarah PPST, Dr Sazmal Effendi Arshad berkata sejajar dengan hasrat untuk membantu universiti melahirkan lebih ramai graduan dalam bidang sains dan teknologi, seramai 284 pelajar bagi sesi 2012/2013 telah didaftarkan berbanding tahun ini yang hanya 60 pelajar didaftarkan.
“Diharap PPST mampu mencapai hasrat untuk melahirkan pelajar cemerlang dalam bidang sains dan teknologi yang setanding dengan pelajar asasi di institut pengajian tinggi awam yang lain,” katanya.
Dalam pada itu, empat pelajar cemerlang berjaya meraih anugerah masing-masing, iaitu anugerah Naib Canselor, Pengarah, Pelajar Harapan dan anugerah Pelajar Berdedikasi dan Berkepimpinan.
Pemenang bagi anugerah Naib Canselor berjaya diraih oleh Nursakinah Najwah Suhaimi dengan Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 4.00, dan Anugerah Pengarah oleh Aaron Roy Thurairajah (PNGK 4.00).
Sementara itu, anugerah Pelajar Harapan dimiliki oleh Dayang Norashikin Rosley (PNGK 3.49) dan pemenang anugerah Pelajar Berdedikasi dan Berkepimpinan oleh Nur Syazwani Siswaya (PNGK 3.03).
<< Previous Entry - Next Entry >>



