Home - Utusan Borneo - Berita Nasional - Jalur Gemilang berkibar serentak di seluruh negara

Jalur Gemilang berkibar serentak di seluruh negara

Posted on July 19, 2012, Thursday

Ribuan rakyat bersama pemimpin sertai pelancaran Kibar Jalur Gemilang dengan semangat patriotik

PERASMIAN: Najib melekatkan pelekat dengan tema ‘Hari Kebangsaan 55 Tahun Merdeka: Janji Ditepati’ pada sebuah teksi selepas merasmikan Majlis Pelancaran Kibar Jalur Gemilang sempena sambutan Hari Kemerdekaan Malaysia ke-55 tahun di Liltle India, Brickfields di Kuala Lumpur, kelmarin. Turut kelihtan Dr Rais Yatim (dua kanan). — Gambar Bernama

KUALA LUMPUR: Jalur Gemilang malam kelmarin berkibar serentak di seluruh negara bagi menandakan bermulanya sambutan Hari Kemerdekaan ke-55 tahun ini.

Bendera negara yang mempunyai 14 jalur merah dan putih serta merupakan simbol perpaduan Malaysia, turut melambangkan semangat sehaluan dan sehala tuju masyarakat negara ini dari Perlis ke Sabah dalam mencapai kegemilangan bangsa dan negara.

Malam kelmarin dari Kangar hingga ke Kota Kinabalu, ribuan rakyat Malaysia bersama-sama pemimpin hadir pada acara yang diadakan di beberapa tempat di negara ini bagi mengibar Jalur Gemilang sambil menyanyi lagu Negaraku dan Jalur Gemilang dengan penuh semangat patriotik.

Di KUALA LUMPUR, pelancaran Kibar Jalur Gemilang sempena sambutan Hari Kemerdekaan 2012 dengan tema ‘55 Tahun Merdeka Janji Ditepati’ diadakan serentak di tiga kawasan yang mewakili tiga kaum utama masyarakat negara ini, iaitu di Brickfields mewakili masyakarat India, Kampung Baru mewakili kaum Melayu dan Jalan Petaling mewakili masyarakat Cina.

Ribuan penduduk ibu negara hadir di ketiga-tiga lokasi untuk menjayakan acara yang penuh semangat patriotik dan berwarna-warni itu.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, yang diiringi Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim melancarkan sambutan Kibar Jalur Gemilang di Little India, Brickfields.

Sementara Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pula bersama Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin melancarkan di Kampung Baru, dan Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai yang juga Timbalan Presiden MCA melancarkannya di Jalan Petaling.

Di KOTA KINABALU, Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman mengajak rakyat supaya menghayati mesej penting di sebalik sambutan kemerdekaan negara ini dengan penuh rasa kesyukuran dan keinsafan yang mendalam.

Beliau berkata ini kerana tidak banyak negara yang mempunyai masyarakat majmuk seperti di Malaysia yang hidup dalam keadaan aman, makmur dan sejahtera dalam tempoh usia kemerdekaan.

“Dalam konteks negeri Sabah, setelah mencapai kemerdekaan menerusi pembentukan Malaysia pada 16 Sept 1963, pelbagai dasar dan program pembangunan untuk rakyat telah kita rancang dan laksanakan,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran Bulan Kemerdekaan dan Kempen Mengibar Jalur Gemilang peringkat negeri Sabah di Dataran Bandaraya, di sini.

Di KUCHING, Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Dato Sri Douglas Uggah Embas mewakili kerajaan pusat untuk menyempurnakan majlis pelancaran Kibar Jalur Gemilang, peringkat negeri di Tebingan Sungai Kuching.

Sambutan itu menyaksikan upacara menaikkan Jalur Gemilang diiringi lagu Negaraku, pelepasan konvoi Jalur Gemilang, pengagihan bendera Malaysia kepada orang awam serta persembahan hiburan.

Di PULAU PINANG, majlis pelancaran Kibar Jalur Gemilang peringkat negeri disempurnakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Nor Mohamed Yakcop di Padang Kawat, Universiti Sains Malaysia (USM).

Pada majlis itu beliau menyerahkan Jalur Gemilang kepada lima wakil agensi penting yang memacu Wawasan 2020.

Seramai 5,000 orang menghadiri majlis pelancaran itu yang turut diserikan dengan persembahan artis tanah air, Black Mentor dan kumpulan Moderate.

Di MELAKA, Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Ali Rustam bersama lebih 4,000 tetamu hadir di Pusat Transformasi Bandar (UTC) Jalan Hang Tuah di sini bagi memeriahkan majlis pelancaran Kibar Jalur Gemilang peringkat negeri itu.

Majlis dimulakan dengan perarakan jalur gemilang oleh pelajar Akademi Laut Malaysia (Alam) diiringi pancaragam Sekolah Tinggi Perempuan Melaka, Durian Daun dan diikuti nyanyian lagu Negaraku serta persembahan tarian oleh artis Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Melaka.

Pada majlis yang dihadiri Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Dr S. Subramaniam yang mewakili kerajaan persekutuan itu, Mohd Ali turut menyerahkan Jalur Gemilang kepada Anggota Dewan Undangan Negeri seluruh Melaka, wakil komuniti serta pemandu teksi.

Di KUALA KANGSAR, Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir melancarkan kempen itu di Arena Square di sini yang dihadiri kira-kira 2,000 pengunjung.

Sebelum itu, konvoi bermotosikal 150 peserta yang diketuai Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tiba di sini, dari Parit Buntar selepas menjelajah beberapa pekan iaitu Bagan Serai, Batu Kurau dan Lenggong.

Kumpulan konvoi yang disertai rakyat pelbagai latar belakang, pekerjaan serta anak muda daripada Persatuan Superbike Malaysia mengagihkan Jalur Gemilang kepada pelajar sekolah semasa penjelajahan mereka.

Di KOTA BAHARU, Menteri Besar Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat melahirkan rasa dukacita dengan sikap rakyat Kelantan yang tidak mengambil berat mengenai kempen mengibar Jalur Gemilang.

“Harapan saya agar semua lapisan masyarakat akan memberi kerjasama dan turut serta menjayakan kempen ini bagi memastikan generasi muda dapat menghayati sejarah kemerdekaan yang dibelenggu penjajah,” katanya ketika melancarkan Kibar Jalur Gemilang peringkat negeri di pekarangan Stadium Sultan Muhammad ke-IV, di sini.

Majlis itu turut dihadiri Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed selaku wakil kerajaan persekutuan yang membacakan perutusan kemerdekaan daripada perdana menteri.

Di KUANTAN, majlis pelancaran Kibar Jalur Gemilang disempurnakan Menteri Besar Datuk Seri Adnan Yaakob di Stadium Darul Makmur, yang turut menyaksikan penyerahan Jalur Gemilang kepada wakil jabatan dan agensi kerajaan serta persatuan dan badan bukan kerajaan di Pahang.

Amanat Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sempena sambutan itu dibacakan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Di SHAH ALAM, lebih 2,000 orang berhimpun di i-City, Seksyen 7 di sini untuk bersama-sama meraikan majlis pelancaran Kibar Jalur Gemilang peringkat negeri yang dirasmikan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Noh Omar.

Majlis itu dimeriahkan dengan persembahan kumpulan pemuzik Tekun Nasional dan hadirin bersama-sama Noh menyanyikan lagu Negaraku, Jalur Gemilang dan 1Malaysia sambil mengibarkan Jalur Gemilang.

Di SEREMBAN, majlis pelancaran Kibar Jalur Gemilang peringkat negeri disempurnakan Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan di Dataran Senawang, Senawang.

Majlis itu turut dihadiri Menteri Kerja Raya Datuk Seri Shaziman Abu Mansor selaku wakil kerajaan persekutuan dan membacakan perutusan daripada perdana menteri di hadapan lebih 1,000 hadirin.

Di KUALA TERENGGANU, Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said bersama lebih 5,000 orang hadir di Dataran Syahbandar di sini bagi memeriahkan pelancaran Kibar Jalur Gemilang peringkat negeri itu.

Majlis dimulakan dengan perarakan Jalur Gemilang oleh 55 Regimen Askar Melayu Diraja (RAMD) diiringi pancaragam anggota tentera RAMD.

Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek hadir selaku wakil kerajaan persekutuan.

Di ALOR SETAR, lebih 2,000 orang berhimpun di Dataran Balai Besar bagi menyaksikan Majlis Pelancaran Kibar Jalur Gemilang peringkat negeri Kedah yang disempurnakan exco kanan kerajaan negeri Datuk Mohd Taulan Rasul yang mewakili Menteri Besar Datuk Seri Azizan Abdul Razak.

Hadir sama Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom yang mewakili perdana menteri dan exco kerajaan negeri Abd Ghani Ahmad yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kecil Sambutan Bulan Kemerdekaan ke-55 peringkat negeri.
Di JOHOR BAHARU, hujan renyai-renyai tidak menghalang lebih 10,000 orang menghadiri majlis pelancaran kibar Jalur Gemilang peringkat negeri di Dataran Tanjung Emas di Muar yang dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kemudahan Awam negeri Datuk Ahmad Zahri Jamil yang mewakili Menteri Besar Datuk Abdul Ghani Othman.

Majlis dimulakan dengan perarakan masuk 550 pembawa Jalur Gemilang yang sebelum itu berarak lebih satu kilometer dari Bandar Muar.

Turut hadir Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein selaku wakil kerajaan persekutuan yang membacakan perutusan perdana menteri.

Di KANGAR, kempen kibar Jalur Gemilang berlangsung di Dataran Merdeka di sini dengan pelancarannya dilakukan Menteri Besar Datuk Seri Dr Md Isa Sabu.

Sempena pelancaran yang dihadiri ribuan penduduk itu, pelbagai acara diadakan termasuk perarakan bendera, pemasangan bendera di kenderaan jabatan dan agensi kerajaan serta teksi.

Turut hadir Menteri Pengangkutan Datuk Seri Kong Cho Ha selaku wakil kerajaan persekutuan. — Bernama

Print Friendly

To enable your comment to be published, please refrain from vulgar language, insidious, seditious or slanderous remarks. This includes vulgar user names.

Comments are closed.