Kor Tani sebar dasar kerajaan

0

KUCHING: Kementerian Pertanian dan Asas Tani diminta mempertimbangkan usaha me-nubuhkan pasukan Kor Tani di peringkat bahagian seterusnya daerah bagi memastikan dasar-dasar pertanian sampai ke peringkat akar umbi.

Menteri Muda Pertanian (Pertubuhan Peladang) Datuk Sylvester Entri Muran berkata pasukan Kor Tani yang dulu-nya dikenali Briged Pertanian merupakan ejen penyebar serta penyampai dasar-dasar ke-rajaan dalam memajukan bidang pertanian di negara ini.

Sejajar dengan peranan utamanya iaitu membentuk ge-nerasi pelapis kepada golo-ngan tani ketika ini, beliau berkata pasukan Kor Tani perlu memikul tanggungjawab membantu kementerian mentransformasikan sektor per-tanian menjadi sektor moden, dinamik, kompetitif seterus-nya sebagai pengeluar makanan utama dunia.

“Pasukan Kor Tani diwujudkan selepas kerajaan sedar betapa pentingnya ke- sinambungan dalam sektor pertanian yang kian mencabar disebabkan beberapa cabaran seperti fenomena cuaca, mas-alah kekurangan tanah dan pelbagai serangan penyakit terhadap tanaman.

“Oleh itu penubuhannya di peringkat bahagian seterusnya daerah akan membantu kerajaan menyebarkan maklumat mengenai dasar-dasar pembangunan pertanian negara seterusnya mengemukakan idea-idea baharu yang lebih kreatif dan inovatif,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Pe- lancaran Kor Tani Zon Sara-wak di Santubong dekat sini semalam.

Entri yang juga Menteri Muda Kemudahan Awam (Bekalan Air) dalam ucapannya mahu peladang, penternak dan nelayan baik generasi muda atau lama menitikberat-kan penguasaan ilmu pengetahuan dan kemahiran.

“Sekarang masyarakat akan bercakap bagaimana untuk mengeluarkan hasil pertanian yang bernilai tinggi dan meng-untungkan menerusi program-program pembangunan modal insan dan latihan kemahiran dilaksanakan jabatan serta agensi kementerian.

“Saya berharap ia dapat membantu golongan peladang, penternak dan nelayan mengubah sikap dan minda serta berfikiran terbuka untuk meneruskan pembangunan sektor pertanian ke tahap lebih tinggi serta membanggakan,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Induk Kor Tani Kementerian Pertanian dan Asas Tani Datuk Zainal Dahalan berkata penubuhan pasukan Kor Tani di seluruh negara bertujuan melahirkan golongan tani yang bukan sahaja sebagai pengeluar tetapi terlibat dalam pemasaran.

Mengulas lanjut mengenai pasukan Kor Tani, beliau berkata ia berperanan seperti pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang terdiri daripada anak-anak petani, peladang, penternak dan usahawan tani berasaskan produk pertanian.

“Tujuannya ialah untuk menggembleng tenaga muda yang akan menjadi tunjang utama pembangunan sektor pertanian negara pada masa akan datang.

“Menerusi pasukan Kor Tani ini, ahli-ahli akan dibahagikan kepada tiga kumpulan iaitu pengeluaran, pemasaran dan pemprosesan produk pertanian,” jelasnya.

Beliau menambah, setakat ini seramai 5,743 ahli pasukan Kor Tani di seluruh negara dan kementerian menyasarkan 1,000 ahli dalam waktu terdekat ini dengan kumpulan sasaran berusia 18 hingga 45 tahun.

Mengenai pasukan Kor Tani Zon Sarawak, beliau memberitahu bahawa seramai 500 telah mengesahkan penyertaan mereka selepas menghadiri kursus serta latihan Bina Pasukan Kor Tani bermula 16 hingga 18 Julai 2012 di Hotel One Santubong dekat sini.

Hadir sama pada majlis pelancaran itu Menteri Muda Pertanian (Penyelidikan dan Pemasaran) Datuk Mong Dagang, Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) SarawakPaza Dan pegawai-pegawai kanan agensi serta jabatan di bawah kementerian.