Home - Utusan Borneo - Berita Sabah - Pasukan Khas Banteras Aktiviti Seludup Barang Kawalan
Pasukan Khas Banteras Aktiviti Seludup Barang Kawalan
Posted on July 19, 2012, Thursday
TAWAU: Penubuhan Pasukan Khas Pemantau Barang-Barang Kawalan/Bersubsidi (PKPBKB) diyakini mampu memberikan impak besar ke atas usaha membanteras aktiviti penyeludupan dan penyelewengan barangan kawalan dan bersubsidi di negeri ini.
Menurut Timbalan Pengarah Kastam Negeri Sabah (Penguatkuasaan dan Pematuhan), Hamzah Sundang, langkah itu dilihat sebagai maklumbalas agensi penguatkuasa terlibat terhadap aduan pemimpin dan orang ramai berhubung perkara berbangkit.
“PKPBKB melibatkan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Polis Diraja Malaysia (PDRM)-Pasukan Polis Marin, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK).
“Agensi ataupun jabatan yang turut membantu ialah Majlis Perbandaran Tawau (MPT), Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Ko-Nelayan dan beberapa jabatan lain,” katanya sambil menambah pasukan khas itu diketuai oleh JKDM.
Hamzah berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat PKPBKB di Wisma Kastam di sini kelmarin yang turut dihadiri oleh ketua-ketua agensi dan jabatan penguatkuasaan terlibat berhubung penubuhan pasukan khas terbabit.
Beliau menjelaskan, penubuhan PKPBKB dilakukan atas kesedaran perlunya aktiviti penyeludupan atau penyelewengan barang-barang kawalan dan bersubsidi dibendung segera bagi mengelak negara menanggung kerugian besar akibat ketirisan.
“Penggabungan kesemua agensi dan jabatan penguatkuasa ini diyakini akan menonjolkan sebuah pasukan yang jitu dan mantap khususnya melibatkan penguatkuasaan di sekitar perairan negeri ini,” katanya.
Tambahnya, PKPBKB juga akan memainkan peranan penting berlandaskan undang-undang di bawah Akta Bekalan 1961 serta turut melakukan pemeriksaan dan serbuan di kawasan darat seperti di kilang, stesen minyak, ladang dan sebagainya.
Beliau percaya operasi bersepadu pasukan khas itu yang akan diadakan secara berkala dan dipantau mengikut tempoh tertentu bakal menghasilkan kejayaan terutamanya di kawasan ‘panas’ di sekitar Pantai Timur dan Kudat.
“Kita harap PKPBKB juga dapat menyampaikan mesej atau kefahaman kepada rakyat betapa agensi dan jabatan penguatkuasaan terlibat serius menangani isu penyeludupan dan penyelewengan barangan kawalan dan bersubsidi di negeri ini,” ujarnya.
Utusan Borneo difahamkan PKPBKB yang baru ditubuhkan ini merupakan langkah ‘serampang dua mata’ pihak berkuasa meningkatkan langkah kawalan dan penguatkuasaan selain tertumpu di ‘kawasan-kawasan panas’ di seluruh Sabah.
<< Previous Entry - Next Entry >>



