PRS mampu pertahan semua kerusinya

1

Masing yakin PRS dapat pertahan Selangau, Julau, Kanowit, Sri Aman, Lubok Antu, Hulu Rejang

SIBU: Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS) Tan Sri Dr James Jemut Masing sekali lagi mengulangi keyakinan parti itu dalam mempertahankan enam kerusi yang diperuntukkan kepada parti pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) akan datang.

Menurut James, berdasarkan maklumbalas positif yang diterima, beliau yakin PRS dapat mempertahankan enam kerusi yang diperuntukkan iaitu kerusi Parlimen Selangau, Julau, Kanowit, Sri Aman, Lubok Antu dan Hulu Rejang.

“Secara ringkasnya, kita amat yakin dapat mengekalkan kesemua keenam-enam kerusi ini,” ujarnya kepada pemberita selepas Majlis Dialog dan Makan Tengah Hari Bersama Presiden dan Pemimpin PRS bagi Kawasan Parlimen Selangau, Julau dan Kanowit di sebuah hotel di sini, semalam.

Hadir sama ialah ahli Parlimen Kanowit Aaron Ago Dagang, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tamin Joseph Mauh Ikeh, ADUN Ngemah Alexander Vincent serta yang lain. Dialog telah disertai lebih 180 ahli parti.

James yang juga Menteri Kemajuan Tanah memberitahu, hasil maklumbalas yang diperolehi ketika dialog yang melibatkan Ketua Bahagian, Wanita dan Pemuda itu, PRS yakin dapat mempertahankan Selangau, Julau dan Kanowit.

Dialog sama katanya, telah dianjurkan di Sri Aman dan Lubok Antu minggu lepas yang dihadiri kira-kira 250 ahli parti, dimana beliau juga telah menerima maklumbalas yang positif.

“Mungkin ada masalah tetapi masalah itu tidak banyak dan dapat kita atasi,” jelas beliau sambil memberitahu masalah di kerusi Selangau yang disandang oleh Datuk Joseph Entulu Blaun kini hanya melibatkan Parti Pekerja Sarawak (SWP).

Sementara di Julau menurut James, masalah melibatkan SWP dan juga ADUN Meluan, Wong Judat, yang dikatakan hendak bertanding menentang penyandang kerusi terbabit, Datuk Joseph Salang Gandum.

James memberitahu, PRS tidak dapat menyelesaikan masalah membabitkan Wong Judat kerana beliau (Wong) bukan ahli PRS, sebaliknya ahli Parti Progresif Demokratik Sarawak (SPDP).

“Namun kita berharap agar SPDP akan menyelesaikan masalah ini,” katanya sambil menambah Wong dianggap telah keluar dari Barisan Nasional (BN) jika beliau menandatangi surat penamaan calon bagi menentang Salang pada PRU13 nanti.

Menyentuh mengenai kerusi Hulu Rejang, James memberitahu Wilson Ugak mungkin seorang calon baharu tetapi merupakan muka lama di kawasan Hulu Rejang.

Ini kerana katanya, Wilson telah berkhidmat 20 tahun dalam parti dan 15 tahun sebagai Setiausaha Politik, selain pernah menjadi pengurus kempen pilihan raya selama lima penggal bagi Datuk Billy Abit Joo dan tujuh penggal bagi beliau sendiri (James).

“Beliau (Wilson) bukan muka baharu di Hulu Rejang,” ujarnya sambil memberitahu sokongan Orang Ulu di kawasan terbabit kepada Wilson juga tidak ada masalah.

Kerusi Parlimen Hulu Rejang buat masa ini disandang oleh Datuk Billy Abit.