Home - Utusan Borneo - Berita Nasional - Makanan berkhasiat, air kosong cegah sakit jantung

Makanan berkhasiat, air kosong cegah sakit jantung

Posted on July 20, 2012, Friday

KUALA LUMPUR: Pengambilan makanan berkhasiat, menjalani ujian saringan kesihatan secara berkala dan memperbanyakkan minum air kosong dapat mengurangkan risiko diserang penyakit kardiovaskular atau serangan jantung.

Pegawai Kesihatan Phlebotomist, Advance Healthscreen Management, Priscilla Peter berkata langkah lain yang boleh dilakukan bagi menjamin jantung yang sihat adalah melakukan aktiviti fizikal atau senaman sekurang-kurangnya 15 minit sehari.

“Penghidap darah tinggi dan diabetes (kencing manis) berisiko tinggi diserang penyakit kardiovaskular kerana kedua-dua penyakit itu antara punca utama penyempitan saluran darah yang boleh menyebabkan serangan jantung,” kata beliau dalam ceramahnya mengenai penyakit ‘pembunuh dalam senyap’ di Wisma Bernama semalam.

Priscilla berkata, tekanan darah tinggi pula menyebabkan meningkatnya risiko terhadap serangan angin ahmar dan jantung serta masalah buah pinggang.

Beliau berkata antara gejala serangan jantung adalah sakit dada, sukar bernafas, berpeluh tanpa sebab serta kebas kaki dan tangan kiri.

“Tanpa melihat usia atau jantina, semua orang boleh terkena penyakit jantung,” katanya.

Beliau berkata, amalan gaya hidup tidak sihat selain pengambilan makanan segera dan penggunaan minyak masak terpakai adalah antara punca menyebabkan peningkatan kolesterol serta serangan jantung. — Bernama

Print Friendly

To enable your comment to be published, please refrain from vulgar language, insidious, seditious or slanderous remarks. This includes vulgar user names.

Comments are closed.