Lapor jika barang di KR1M mahal

0

KUCHING: Orang ramai yang tidak berpuas hati atau merasakan barangan yang dijual di Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) masih sama harganya dengan kedai runcit biasa, perlu memaklumkan perkara itu kepada pihak kementerian.

Timbalan Menteri Perdaga-ngan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Datuk Rohani Abdul Karim berkata, dengan berbuat demikian ia memudahkan kementerian untuk mendapatkan maklum balas dan memeriksa produk yang didakwa.

“Kita sudah mendapat maklum balas mengenai perkara ini, namun semasa pelancaran KR1M di Padawan (Batu 11) harga barangan yang dibandingkan itu adalah tidak sama dari segi jenis dan beratnya. Jika dari situ, memang ada bezanya.

“Misalnya kalau mereka bezakan susu pekat manis produk 1Malaysia dengan susu pekat manis jenama lain dengan berat yang sama sudah pasti susu pekat manis 1Malaysia jauh murah, dan bukannya membezakan ia dengan barangan lain,” katanya ketika dihubungi semalam.

Rohani yang juga Ahli Parlimen Batang Lupar menegas-kan, kewujudan KR1M adalah untuk memberi pelbagai pilihan kepada rakyat berbilang kaum khasnya mereka yang berpendapatan sederhana dan rendah.

“Kita tidak pernah memaksa orang untuk membeli barangan di KR1M dan ia dibuka untuk memberi manfaat kepada golongan yang merasakan bara-ngan dijual di KR1M mampu dibeli oleh mereka.

“Jika mereka merasakan barangan di KR1M mahal, maka laporkan kepada kita dan kita akan memeriksa,” ujar beliau.

Tambahnya, produk yang dijual di KR1M adalah jauh lebih murah kerana ia tidak memerlukan promosi dan pembungkusan yang biasa, maka itu harganya 30 peratus lebih rendah daripada kedai runcit biasa.

Beliau berkata, adalah tidak adil membandingkan barangan KR1M sedangkan ia banyak membawa manfaat lain selain harga yang murah.

Antaranya, ia memberi peluang perniagaan kepada usahawan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) tempatan untuk menjadi pembekal produk mereka di KR1M selain mampu mengawal harga pasaran.

“Semenjak wujudnya KR1M ini, ada di antara pasar raya tidak berani lagi untuk meletakkan harga tinggi memandangkan KR1M menawarkan harga rendah… ini adalah salah satu daripada kebaikan KR1M dan bukannya melihat kepada satu sudut sahaja,” kata Rohani.

Mengulas mengenai perkembangan KR1M di Sarawak, katanya, sebanyak 12 buah lagi KR1M akan diperluaskan di negeri ini pada tahun ini.

“Kini kita cuma sudah membuka satu, iaitu di Padawan (Batu 11) dan 12 buah lagi akan dibuka pada tahun ini.

“Bagaimanapun, ia berpandukan lokasi-lokasi tertentu kerana kita sudah meminta  kepada Pengarah PPDNKK Negeri untuk mengenal pasti tempat berkenaan selain mendapatkan maklum balas daripada pemimpin masyarakat,” kata beliau.