Peniaga bazar Ramadan diminta jaga kebersihan makanan, minuman

0

SIBU: Peniaga bazar Rama-dan khususnya di Dataran Bandar Sibu (DBS) Fasa II diingatkan agar sentiasa menjaga kebersihan makanan dan minuman yang dijual sepanjang bulan puasa ini.

Pengerusi Jawatankuasa Bazar Ramadan Majlis Perbandaran Sibu (MPS), Kaunselor Dr Isa’ali Wasli berkata, peniaga juga perlu menjaga kebersihan diri serta sekitar kawasan mereka berniaga.

“Peniaga harus memastikan makanan yang dijual sentiasa segar dan bukan makanan yang telah semalaman atau basi,” ujarnya pada satu sidang media berhubung bazar Ramadan, petang semalam.

Bazar Ramadan MPS di DBS Fasa II yang akan bermula 21 Julai hingga 18 Ogos, melibatkan 169 peniaga. Daripada jumlah itu, 138 peniaga makanan dan minuman, 24 gerai menjual makanan barbeku dan tujuh gerai menjual pelbagai jenis barangan lain.

Dianjurkan setiap tahun, bazar Ramadan ini dianjurkan dengan kerjasama Komuniti 1Malaysia Nangka (K1MN). Hadir sama pada majlis ialah ahli jawatankuasa bazar, Kaunselor Awang Ali Bahar, Timbalan Pengerusi K1MN Abang Kassim Abang Jes serta yang lain.

Menurut Dr Isa’ali lagi, Pejabat Kesihatan Bahagian Sibu juga akan mengambil sampel makanan dari semasa ke semasa bagi memastikan makanan yang dijual peniaga bersih dan selamat untuk dimakan.

“Peniaga yang berniaga di bazar Ramadan ini juga telah diarahkan untuk menjalani saringan kesihatan,” katanya sambil memberitahu pihak majlis memandang serius aspek kebersihan.

Di samping itu katanya, jumlah peniaga di bazar Rama-dan tahun ini menunjukkan sedikit peningkatan berban-ding penyertaan tahun lepas yang seramai 153 peniaga.

“Penyertaan peniaga di bazar Ramadan ini sentiasa meningkat dari setahun ke setahun,” katanya sambil menambah K1MN turut menganjurkan pertandingan dekorasi dan kebersihan gerai.

Sehubungan itu, beliau menjemput semua penduduk Sibu untuk mengunjungi bazar Ramadan ini yang dibuka dari jam 2 petang hingga 7 malam.

“Namun ada peniaga yang telah memulakan perniagaan mereka seawal jam  12 tengah hari,” jelas Dr Isa’ali.

Majlis perasmian Bazar Ramadan MPS di DBS Fasa II ini dijadual dirasmikan oleh ahli Dewan Undangan Negeri Nangka, Dr Annuar Rapa’ee pada 22 Julai, jam 4 petang.