Home - Utusan Borneo - Berita Tempatan - Tiada jalan singkat untuk capai kejayaan

Tiada jalan singkat untuk capai kejayaan

by Mohd Norhadie Sahari. Posted on July 22, 2012, Sunday

Individu yang berusaha gigih akan berjaya dalam pelajaran dan kehidupan: Dennis

LONG LAPUT: Tiada jalan singkat untuk mencapai kejayaan dalam pendidikan dan kehidupan kecuali menerusi usaha gigih serta berada di landasan yang betul menuju ke arah kecemerlangan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telang Usan Dennis Ngau berkata, jika seseorang pelajar berhasrat ingin berjaya dalam pelajaran, maka mereka perlu rajin belajar setiap hari.

“Hanya mereka yang benar-benar rajin dan berusaha gigih untuk berjaya dalam pelajaran seterusnya dalam kehidupan kelak akan mendapat habuannya nanti,” katanya pada Majlis Penangguhan Program Jalin Ilmu di Sekolah Kebangsaan (SK) Long Laput semalam.

Beliau memberitahu, pelajar harus mengenal pasti peluang dan ruang untuk meningkatkan kecemerlangan dalam diri serta jangan hanya bersikap tunggu dan lihat.

“Paling penting ialah mereka perlu membuat pilihan atau keputusan yang tepat bagi memperoleh kejayaan kerana ia tidak akan datang bergolek tanpa sebarang tindakan atau usaha,” jelasnya.

Beliau memberitahu, pelajar harus mempunyai motivasi yang tinggi dalam diri supaya mereka tidak tersasar dari landasan untuk mencapai kejayaan dalam pendidikan dan kehidupan.

Mengulas mengenai program itu, Dennis memberitahu ia adalah saluran yang terbaik kepada pelajar dan guru untuk berkongsi pengetahuan bagi meningkatkan kualiti pendidikan di Baram.

“Pelajar tidak seharusnya berasa rendah diri meskipun berada di kawasan terpencil. Mereka boleh membuktikan bahawa mereka setanding dengan pelajar lain dalam pelajaran jika berusaha gigih,” katanya.

Pelajar di kawasan luar bandar, katanya, mampu belajar dalam keadaan aman dan tenteram tanpa sebarang gangguan terutama elemen-elemen permainan video dan Internet (laman sosial).

“Elemen-elemen seperti inilah yang mengganggu tumpuan pelajar khususnya di bandar dan pelajar luar bandar masih mampu memberi perhatian dalam pelajaran tanpa gangguan tersebut,” katanya.

Program yang dianjurkan oleh SK Long Lapuk Baram itu turut dihadiri oleh murid-murid dari SK Ubong Imang, SK Long Atip, SK Uma Bawang, SK Long Miri, SK Long Pelutan, SK Morip, SK Long Kevok dan SK Sungai Sebatu.

Ia sebahagian program persediaan sebelum murid menduduki Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) pada tahun ini.

Hadir sama ialah Ketua Masyarakat Kayan Pemancha Elizabeth Ding, Guru Besar SK Long Laput Badrul Seri dan Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Long Laput Cr Wan Lah.

Print Friendly

To enable your comment to be published, please refrain from vulgar language, insidious, seditious or slanderous remarks. This includes vulgar user names.

Comments are closed.