Home - Utusan Borneo - Berita Tempatan - Mangsa nahas helikopter Siti Khuzaimah selamat dikebumikan

Mangsa nahas helikopter Siti Khuzaimah selamat dikebumikan

Posted on July 23, 2012, Monday

KUCHING: Allahyarhamah Siti Khuzaimah Anwar selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Gita Baru kira-kira jam 1.40 petang semalam.

KASIH TUNANG: Mohd Faitullah menyiram air mawar buat tunangnya Allahyarhamah Khuzaimah selepas majlis pengebumian semalam.

Khuzaimah yang berusia 27 tahun merupakan seorang daripada tiga mangsa nahas helikopter selepas terhempas di Sungai Triso, Sri Aman Jumaat lalu.

Mayat Khuzaimah yang hilang, ditemui terapung di perairan dekat Maludam kelmarin dan dibawa ke Hospital Daerah Simunjan sebelum dihantar ke Hospital Umum Sarawak untuk dibedah siasat.

Allahyarhamah bersama dua lagi mangsa, Peter Ato Mayau, 53, dan Henry Loh, 42, semasa kejadian dikatakan menaiki sebuah helikopter jenis Eurocopter EC 120 yang diterbangkan oleh seorang lelaki warga Jerman iaitu Rico Steger,35.

Mereka dikatakan dalam perjalanan untuk melakukan pemeriksaan terhadap projek pembinaan sebuah sekolah di Nanga Merit, Kapit.

Dalam insiden tersebut, Rico berjaya menyelamatkan dirinya dengan berenang kira-kira lebih empat jam merentasi arus sungai tersebut sebelum tiba di jeti Kampung Tebelu sekitar jam 12.30 tengah hari kejadian.

Sementara itu, bapa allahyarhamah ketika ditemui selepas majlis pengebumian semalam mengucapkan terima kasih kepada pihak yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung dalam mengurus jenazah anaknya.

“Terima kasih banyak kepada pihak-pihak yang terlibat atas semua bantuan diberikan dalam pengurusan jenazah anak saya dan juga para media yang membuat liputan serta laporan yang positif,” katanya dengan reda atas pemergian anak sulungnya itu. Allahyarhamah dikatakan bakal bernikah dengan tunangnya,

Mohd Faitullah Ali, pada 30 November nanti disusuli dengan majlis persandingan pada 2 Disember.

Khuzaimah bekerja sebagai juruukur bahan dengan Sebiro Holdings.

Suasana sedih terus menyelubungi rumah Khuzaimah sebaik mayat allahyarhamah tiba di kediamannya kira-kira jam 12.50 tengah hari sebelum dikebumikan sekitar jam 1.40 petang selepas disembahyangkan semalam.

Manakala tunang allahyarhamah, Mohd Faitullah turut kelihatan sedih atas kehilangan orang yang dicintai semasa majis pengebumian itu.

Print Friendly

To enable your comment to be published, please refrain from vulgar language, insidious, seditious or slanderous remarks. This includes vulgar user names.