Home - Utusan Borneo - Berita Nasional - MCA cadang naik taraf Pasar Awam Gunung Rapat

MCA cadang naik taraf Pasar Awam Gunung Rapat

Posted on July 23, 2012, Monday

IPOH: MCA akan berbincang dengan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan bagi menaik taraf Pasar Awam Gunung Rapat di sini yang telah usang.

Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek berkata pasar itu perlu dinaik taraf bagi memastikan orang ramai dapat menjalankan urusan jual beli dengan lebih selesa.

“Tahun lepas memang ada peruntukan untuk membina semula pasar awam ini. Bagaimanapun ia mendapat bantahan di kalangan peniaga. Lanjutan daripada itu, MCA telah merayu bagi pihak peniaga kepada Menteri Besar dan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, dan hasilnya cadangan untuk membina semula pasar itu telah ditangguh,” katanya kepada pemberita selepas melawat pasar berkenaan semalam.

Chua berkata, semasa lawatan singkatnya ke pasar itu, didapati kemudahan elektrik dan bumbung pasar perlu diberi penambahbaikan beserta infrastrukrtur yang lain.

MCA akan turut memohon peruntukan yang sesuai bagi kerja-kerja menaik taraf pasar berkenaan, katanya.

Ketika melawat Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Gunung Rapat, beliau telah mengumumkan peruntukan sebanyak RM300,000 untuk pembinaan gelanggang bola keranjang tertutup di sekolah itu, di mana gelanggang itu boleh diguna pakai sebagai dewan.

Ia membabitkan kos pembinaan sebanyak RM400,000.

Beliau menambah sekolah yang mempunyai kira-kira 1,600 murid itu masih belum mempunyai dewan.

“Kita perhatikan ini adalah sekolah kerajaan, tetapi tidak ada dewan, namun bilangan muridnya kian bertambah. Jadi tadi, memang ada cadangan supayagelanggang tertutup yang akan dibina itu boleh juga dijadikan dewan serba guna,” katanya.

Chua juga berkata kerajaan di bawah kepimpinan Barisan Nasional (BN) sentiasa akan mencari jalan supaya sesebuah pembangunan yang dilaksanakan tidak menjejaskan keselesaan rakyat.

Justeru itu, beliau meminta masyarakat setempat agar mempunyai kesedaran bahawa kepimpinan parti pembangkang hanya sekadar ‘main slogan’ dalam menawan hati rakyat.

“Pelbagai masalah ditangani melalui BN. Pemimpin pembangkang hanya tahu main isu untuk kelirukan rakyat dan ada sebahagian daripada badan bukan kerajaan setempat turut memainkan isu perkauman untuk menimbulkan kebencian rakyat terhadap MCA dan kerajaan,” katanya. — Bernama

Print Friendly

To enable your comment to be published, please refrain from vulgar language, insidious, seditious or slanderous remarks. This includes vulgar user names.

Comments are closed.