Home - Utusan Borneo - Berita Tempatan - Indeks jenayah Bau turun 13%
Indeks jenayah Bau turun 13%
by Rusnan Mustafa. Posted on July 24, 2012, Tuesday
BAU: Indeks jenayah di daerah Bau turun sebanyak 13 peratus bagi tempoh 1 Januari hingga Julai 2012 berbanding tempoh yang sama pada tahun lepas.
Ketua Polis Daerah Bau DSP Mohd Sabri Zainol berkata penurunan itu membuktikan kadar jenayah di kawasan itu dalam keadaan terkawal.
“Kami dapat mengawal indeks jenayah dengan baik berdasarkan statistik iaitu indek jenayah di kawasan kita menurun sebanyak 13 peratus secara keseluruhan berbanding tahun lepas dan ini bermakna indek jenayah kami terkawal,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bau di sini semalam.
Tambahnya lagi, kadar pertuduhan turut meningkat kepada 38 peratus bagi tempoh yang sama berbanding tahun lepas.
Pada masa yang sama, beliau memberitahu bahawa kerjasama orang awam di kawasan itu masih lagi rendah kerana pihaknya kurang mendapat maklumat daripada masyarakat di situ.
“Oleh itu, saya menyeru semua anggota masyarakat tidak kira siapa jika ada maklumat salurkan kepada pihak kami untuk diambil tindakan segera, bersama-samalah menggembleng tenaga untuk mengurangkan masalah jenayah atau kegiatan dadah di kawasan ini,” tegasnya.
Selain itu, Sabri turut menasihati penduduk di Bau yang berhasrat untuk balik ke kampung pada musim perayaan nanti agar memaklumkan kepada pihaknya bagi memastikan keselamatan rumah semasa ketiadaan mereka.
“Jika hendak balik beraya dalam tempoh yang lama maklumkan kepada kita mahupun jiran anda supaya rumah yang tiada penghuni kerana ditinggalkan dapat kami jaga,” ujarnya.
<< Previous Entry - Next Entry >>



