Home - Utusan Borneo - Berita Nasional - Kemalangan jalan raya bawa polis temui dadah lebih RM584,000
Kemalangan jalan raya bawa polis temui dadah lebih RM584,000
Posted on July 24, 2012, Tuesday

RAMPASAN: Azmi (kiri) menunjukkan peralatan memproses dadah yang dirampas di sebuah rumah di Semabok pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka di Melaka, semalam. — Gambar Bernama
MELAKA: Berpunca daripada satu kemalangan jalan raya, polis berjaya menemui pelbagai jenis dadah bernilai RM584,958 dipercayai bagi edaran di negeri Melaka.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Melaka Supt Md Azmi Othman berkata, kegiatan pengedaran dadah itu dikesan selepas seorang lelaki berusia 36 tahun yang memandu proton Iswara melanggar belakang sebuah lori berhampiran simpang Hicom Alor Gajah pada jam 7.15 pagi, 18 Julai lepas.
Bagaimanapun katanya, lelaki terbabit berkelakuan mencurigakan apabila memegang erat dua buah beg walaupun berada dalam keadaan kesakitan selepas mengalami kecederaan akibat kemalangan itu.
“Susulan daripada kejadian tersebut, beberapa anggota narkotik dari Ibu pejabat Polis Daerah Alor Gajah telah bergegas ke Hospital Alor Gajah di mana lelaki terbabit mendapat rawatan,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka di sini, semalam.
Katanya, polis kemudian menemui kira-kira 500 gram dadah dipercayai syabu bernilai RM201,758 di dalam sebuah beg sementara satu lagi beg mengandungi komputer riba dan telefon bimbit serta wang tunai berjumlah RM980 daripada lelaki terbabit.
Md Azmi berkata, lelaki yang mempunyai lima rekod jenayah lampau itu juga didapati positif dadah ketika pemeriksaan air kencing dilakukan.
Beliau berkata, lelaki terbabit kemudian dihantar ke Hospital Melaka untuk rawatan lanjut sebelum polis menahan teman wanitanya berusia 30 tahun yang datang melawat lelaki berkenaan pada jam 11 pagi hari sama.
Katanya, hasil pemeriksaan ke atas wanita tersebut, polis menemui segugus kunci sebelum wanita berkenaan membawa polis ke sebuah rumah teres setingkat di Semabok di sini yang disewa teman lelakinya sejak setahun lepas.
“Polis menjumpai 4,600 biji pil ecstacy dengan anggaran berat kasar 1,580 gram selain dua bungkus plastik dipercayai dadah jenis ketamin dianggarkan seberat 2,106 gram yang kesemuanya bernilai RM383,200 selain pelbagai peralatan memproses dadah,” katanya.
Katanya, polis turut menyita sebuah kereta milik wanita terbabit dan merampas wang tunai berjumlah RM3,110. — Bernama
<< Previous Entry - Next Entry >>



