Home - Utusan Borneo - Berita Nasional - Lelaki lembam tidak pulang ke rumah sejak awal julai
Lelaki lembam tidak pulang ke rumah sejak awal julai
Posted on July 24, 2012, Tuesday

HILANG: Saad menunjukkan kad pengenalan Mahmood yang hilang sejak awal bulan lalu sambil diperhatikan oleh ibunya Intan Baharom, 82, ketika ditemui pemberita di Alor Setar, semalam. — Gambar Bernama
ALOR SETAR: Seorang lelaki warga emas meminta orang ramai membantu mencari adiknya, Mahmood Hashim, 50, yang menghidap lembam kerana dilaporkan tidak pulang ke rumah di Kampung Tanjung Inggeris, dekat sini sejak 6 Julai lepas.
Mohd Saad Hashim, 60, berkata adiknya itu yang tinggal bersama ibu mereka di sebelah rumahnya tidak pulang ke rumah selepas keluar kira-kira jam 6 pagi pada hari berkenaan.
“Masa dia keluar dia pakai baju biru lengan panjang dan berseluar hitam. Dia sering keluar awal dan akan balik ke rumah. Selalunya dia akan ke pasar menolong orang berniaga di situ.
“Tetapi hari itu, sampai ke malam dia tidak pulang membuatkan kami sekeluarga risau. Ini kali kedua dia hilang selepas kali pertama pada 2008,” katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya di Kampung Tanjung Inggeris semalam.
Mohd Saad berkata, selepas membuat laporan di Balai Polis Langgar minggu lepas, dia mendapat maklumat bahawa adiknya itu berada di Shah Alam.
“Ada orang kampung ini yang bekerja di sana terlihat adik saya di Shah Alam tetapi tidak pasti kesahihannya,” kata beliau.
Mohd Saad berkata semasa keluar rumah pada hari kejadian, adiknya tidak sihat dan mereka sekeluarga risau jika berlaku apa-apa yang tidak diingini.
“Kami sekeluarga sangat berharap agar Mahmood pulang sebelum raya kerana ibu saya tidak boleh tidur memikirkan keadaannya. Dari kecil mereka tinggal bersama dan jika Mahmood tiada semasa raya, keluarga kami tidak akan meriah kerana Mahmood seorang yang ceria dan ramah.
“Setiap kali tiba musim perayaan, dia yang akan sibuk membuat persiapan terutamanya baju raya walaupun baju yang dipakainya adalah pemberian orang, dia tetap gembira,” katanya.
Sementara itu, ibunya Intan Baharom, 82, berkata sejak Mahmood tidak pulang ke rumah, dia tidak boleh tidur nyenyak kerana memikirkan keadaan anaknya itu.
“Sejak kecil dia tinggal dengan makcik. Walaupun keadaannya tidak normal seperti orang lain tetapi dia seorang yang baik dan disenangi orang kampung. Dia ringan tulang dan suka membantu orang,” katanya. — Bernama
<< Previous Entry - Next Entry >>



