Home - Utusan Borneo - Berita Nasional - MAPIM sertai NGO ASEAN jumpa Presiden Myanmar bincang isu Rohingya
MAPIM sertai NGO ASEAN jumpa Presiden Myanmar bincang isu Rohingya
Posted on July 26, 2012, Thursday
BUTTERWORTH: Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) akan menyertai beberapa badan bukan kerajaan (NGO) dari negara ASEAN berjumpa Presiden Myanmar Rabu depan, bagi membincangkan isu Rohingya.
Setiausaha Agung Mapim Mohd Azmi Abdul Hamid berkata antara agenda pertemuan itu ialah mendesak Presiden Thein Sein membenarkan misi kemanusiaan masuk ke Myanmar untuk membantu pelarian Rohingya.
“Kami juga akan berjumpa pemimpin Liga Demokrasi Kebangsaan Aung San Suu Kyi bagi membincangkan isu sama,” katanya kepada pemberita di sini semalam.
Beliau sebelum itu menerima bantuan makanan untuk pelarian Rohingya yang disampaikan Anggota Dewan Undangan Negeri Seberang Jaya Datuk Arif Shah OmarShah.
Mengulas lanjut, Mohd Azmi berkata MAPIM merancang menghantar bantuan makanan kepada pelarian Rohingya pada 4 Ogos ini.
“Setakat ini kita telah menerima satu kontena barang makanan dan keperluan asas untuk dihantar ke sana dan saya yakin kita mampu mengumpul empat kontenalagi.
“Jadi saya berharap rakyat Malaysia menghulurkan bantuan untuk membantu pelarian Rohingya yang menghadapi kekurangan makanan dan khemah,” katanya.
Orang ramai yang mahu menghulurkan bantuan boleh hubungi talian 013-4145663.
Pada masa yang sama, Mohd Azmi berkata MAPIM akan memohon campur tangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu agar berunding dengan Bangladesh bagi membenarkan misi bantuan makanan itu boleh dibawa ke Myanmar menerusi jalanlaut. — Bernama
<< Previous Entry - Next Entry >>
Advertisement





