Guru agama maut, Myvi dipandu bertembung Hilux

0

KENDERAAN mangsa yang hancur remuk dalam insiden berkenaan.

TUARAN: Seorang guru agama Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Nangka di sini terbunuh setelah Proton Myvi yang dipandunya bertembung dengan Toyota Hilux di Kilometer 5.9 Jalan Sulaman, petang kelmarin.

Dikatakan mangsa dikenali sebagai Ahmad Fauzan Madrih, 33, meninggal dunia serta merta di tempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala dan badan.

Menurut saksi kejadian, mangsa dipercayai tersalah masuk ke laluan bertentangan sebelum Toyota Hilux yang dinaiki oleh tiga lelaki tempatan merempuh kenderaan mangsa.

Bagaimanapun, ketiga-tiga lelaki yang menaiki Hilux terbabit tidak mengalami sebarang kecederaan serius.

Ketua Polis Daerah Tuaran, Deputi Superitendan Zaharudin Rasip ketika dihubungi kelmarin mengesahkan kejadian terbabit yang berlaku sekitar jam 2.55 petang.

Beliau berkata, mangsa difahamkan menuju ke Tuaran melalui jalan terbabit dan tidak semena-mena tersalah lorong sebelum bertembung dengan kenderaan dari arah bertentangan.

“Hasil siasatan awal mendapati mangsa telah tersalah lorong secara tiba-tiba lalu bertembung dengan Toyota Hilux berkenaan.

“Impak daripada pelanggaran itu menyebabkan kenderaan yang dipandu mangsa hancur remuk,” katanya sambil menambah kes akan disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Sementara itu, Zaharudin menasihatkan pengguna jalan raya untuk berhenti rehat sebentar sekiranya berasa letih bagi menangani kemalangan terus meningkat terutamanya di bulan Ramadan ini.

“Para pemandu dinasihatkan untuk lebih berhati-hati bagi mengelak kemalangan sebegini terjadi. Sekiranya letih kita minta pemandu-pemandu berehat sebentar sebelum meneruskan perjalanan semula,” katanya.