Site Last Updated 12:47 am, Saturday

Rumah PBR runtuh serentak bunyi dentuman kuat

Posted on July 27, 2012, Friday

RUNTUH: Beginilah keadaan rumah Program Bantu Rumah yang telah runtuh pagi semalam.

SARIKEI: Sebuah rumah Program Bantuan Rumah (PBR) yang siap dibina pada 2008 di Kampung Baru Seberang, Taman Susur Jambu, Sarikei runtuh menyembah bumi awal pagi semalam.

Sungguhpun tiada gempa bumi atau bencana alam lain, namun rumah yang dimiliki oleh Morshidi Wan, 59, itu runtuh menyebabkan bahagian dapur dan bilik mandi rumahnya berada dalam lumpur.

Kejadian ini dipercayai berlaku pada sekitar jam 8.45 pagi semalam, di mana pada waktu kejadian terdapat dua orang penghuni berada di rumah terbabit iaitu anak kepada Morshidi iaitu Puspanira Morshidi (anak) dan menantunya, Mohd Adam Muslim.

Pada waktu kejadian, Morshidi sedang berada di bandar Sarikei manakala anaknya (Puspanira) pula sedang mengemas dapur dan suaminya berada di bilik mandi mereka.

Menurut Puspanira, kejadian itu berlaku dalam sekelip mata sahaja tanpa disedari dan tiada amaran.

“Kejadian itu berlaku serentak dengan satu bunyi dentuman yang sangat kuat, dan pada masa yang sama saya berasa berada dalam keadaan yang senget dan hampir jatuh.

“Pada masa yang sama, saya juga sempat melihat perkakas dapur seperti peti sejuk, almari lauk, dapur, serta beberapa barangan lain yang berada di dapur telah jatuh.

“Melihat kejadian itu, saya telah bergegas keluar dari rumah berkenaan kerana risau perkara yang buruk berlaku lagi,” ceritanya kepada pemberita, semalam.

Sementara itu, Morshidi yang juga penghidap asma dan mengalami masalah sakit jantung berkata, belum sembuh pun duka di hatinya berikutan pemergian seorang anak lelakinya yang meninggal dunia pada 17 Julai lepas, kini satu lagi dugaan bagi dirinya sekeluarga pada bulan Ramadan yang mulia ini.

“Anak saya, Morhas Zaini, 29, yang bekerja sebagai seorang juruteknik pendingin hawa di Semenanjung Malaysia telah meninggal dunia akibat kanser usus.

“Kami sekeluarga dan sanak saudara baharu sahaja mengadakan majlis makan tujuh hari pada petang kelmarin bagi memperingati pemergiannya,” ceritanya dalam nada yang hiba.

Tambahnya, rumahnya dua hari lepas baharu sahaja siap dibaik pulih oleh sebuah kontraktor.

“Dalam kerja baik pulih tersebut, kontraktor terbabit telah menggantikan bahagian dinding yang selama ini hanya dipasang asbestos dengan papan.

“Sebenarnya, kerisauan tentang struktur, kualiti pembinaan rumah PBR bagi penerimanya tentang setahan mana struktur rumah ini mampu bertahan di kampung ini telah menghantui penduduk sejak kebelakangan ini,” kata Morshidi.

Print Friendly

We encourage commenting on our stories to give readers a chance to express their opinions; please refrain from vulgar language, insidious, seditious or slanderous remarks. While the comments here reflect the views of the readers, they are not necessarily that of Borneo Post Online. Borneo Post Online reserves the right not to publish or to remove comments that are offensive or volatile. Please read the Commenting Rules.