Home - Utusan Borneo - Berita Sabah - Tragedi kapal tangki Bunga Alpinia terbakar, seorang terkorban, empat masih hilang
Tragedi kapal tangki Bunga Alpinia terbakar, seorang terkorban, empat masih hilang
by RUZAINI ZULKIFLI ruzainiUB@gmail.com. Posted on July 27, 2012, Friday

KELIHATAN kapal tangki bahan kimia dan minyak sawit milik MISC Berhad Bunga Alpinia yang terbakar dalam tragedi itu.
LABUAN: Seorang anak kapal terkorban dan empat lagi dilaporkan hilang dalam insiden kapal tangki bahan kimia dan minyak sawit milik MISC Berhad Bunga Alpinia yang terbakar di Jeti Terminal Loji Petronas Methanol (PML) dekat Pulau Enoe di sini.
Kejadian jam 2.40 pagi itu dipercayai berlaku sejurus dentuman guruh disertai hujan lebat yang melanda pulau bebas cukai terbabit.
Difahamkan, kebakaran mula meletus dari kawasan dek diikuti beberapa siri letupan sehingga merebak ke seluruh kawasan kapal.
Mangsa dikenali sebagai Shahril Azmi Baharudin,28, berasal dari Melaka ditemui kira-kira jam 9.30 pagi tidak jauh daripada lokasi kejadian.
Tiga mangsa lelaki tempatan dikenali sebagai Muhammad Nazrin Khamsani, 20, Mohd Hanafi Khalil, 24, Zahari Hassim, 46, dan seorang warga Filipina, Colanggoy Errol Calaluan, 22, dilaporkan hilang dalam kejadian berkenaan.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hamza Taib berkata dalam kejadian sekitar jam 2.40 pagi itu telah mengorban seorang lelaki tempatan yang merupakan anak kapal Bunga Alpinia.
Beliau berkata, punca kejadian masih dalam siasatan pihaknya dan proses pencarian masih dilaksanakan dengan membabitkan pelbagai agensi termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Marin, Jabatan Laut, Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dan lain-lain.
“Kita telah mengarahkan kesemua anggota terlibat termasuk pihak JBPM bersiap sedia di kawasan terbabit bagi mengelakkan sebarang kejadian buruk tidak diingini berlaku lagi.
“Kapal berkenaan juga telah dibawa jauh daripada jeti menggunakan ‘tug boat’ selain semua operasi di kawasan jeti dihentikan sementara bagi tujuan keselamatan,” katanya di sini.
Ketua Polis Labuan, Deputi Superitendan Saiman Kasran yang berada di tempat kejadian kelmarin turut mengesahkan berikutan mangsa telah ditemui mati dalam keadaan melecur seluruh badan di kawasan kejadian jam 9.30 pagi kelmarin.
“Setakat jam 9.30 pagi, kita telah menemui mayat mangsa dalam keadaan melecur yang mana merupakan salah seorang daripada mereka yang hilang pada insiden terbabit. Operasi mencari masih diteruskan,” katanya.
Dalam pada itu, dalam kenyataan MISC, kapal 38,000 DWT IMO II itu mempunyai 29 anak kapal yang terdiri daripada 23 rakyat Malaysia dan enam rakyat Filipina.
Seramai 24 anak kapal telah berjaya diselamatkan dalam insiden berkenaan.
Pengarah JBPM Labuan, Zainal Madasin berkata 64 anggota bomba dan enam jentera masih bertungkus-lumus memadamkan kebakaran di kapal yang kelihatan senget itu.
Sementara itu, dilaporkan sebuah bangunan berhampiran milik Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) mengalami kerosakan dengan siling, tingkap dan pintunya pecah akibat gegaran susulan insiden itu.
Susulan insiden itu juga, operasi Stesen Janakuasa Patau-Patau milik SESB yang terletak bersebelahan terminal itu dihentikan sementara atas faktor keselamatan.
Pengarah Urusan SESB, Abdul Razak Sallim berkata ini bagi membolehkan pihak JBPM mengambil langkah pencegahan dan keselamatan.
“Penyaluran gas daripada Petronas Chemicals Methanol ke Stesen Patau-Patau juga terpaksa dihentikan serta-merta sehingga keadaan kembali normal dan selamat,” katanya.
<< Previous Entry - Next Entry >>



