Pemandu lori maut rempuh belakang lori 10 tan

0

Anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) sedang mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam kenderaannya.

KOTA KINABALU: Seorang pemandu maut setelah lori yang dipandunya merempuh belakang sebuah lagi lori 10 tan dalam satu kejadian di Jalan Tuaran, berdekatan Kampung Giling, Telipok dekat sini kelmarin.

Mangsa dikenali sebagia Supardi Wir, 63, dari Kampung Poturidong, Kiulu, Tamparuli dikatakan mati di tempat kejadian setelah mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan badan pada insiden sekitar jam 1 petang itu.

Difahamkan, mangsa sedang menuju ke Tuaran dari arah Telipok sebelum hilang kawalan dan merempuh lori yang diletakkan di tepi jalan.

Pemandu lori 10 tan berkenaan pada waktu itu bagaimanapun tidak berada dalam kenderaannya kerana berada di kedai runcit berhampiran insiden itu.

Mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Queen Elizabeth (HQE) untuk bedah siasat.