Insurans SWP untuk memancing undi

0

UNTUKMU: Nyalau menyampaikan Netbook 1Malaysia kepada wakil pelajar SMK Lubok Antu pada majlis itu.

ENGKILILI: Ahli Parlimen Lubok Antu William Nyalau Badak mendakwa bahawa Parti Pekerja Sarawak (SWP) berminat memberi insurans nyawa kepada setiap ahli yang menyertai SWP semata-mata untuk memancing undi supaya rakyat memberi sokongan kepadanya.

Menurutnya, setakat ini belum ada sebuah parti di dunia ini yang memberi insurans nyawa kepada setiap ahli yang menyertai parti berkenaan.

Sehubungan itu SWP yang berjanji akan memberi insurans nyawa berjumlah RM15,000 kepada setiap ahlinya yang meninggal dunia adalah tidak benar sama sekali, ujarnya.

Sekiranya benar, kenapa SWP tidak memberi insurans nyawa kepada salah seorang warga tua yang meninggal dunia di Rumah Nading, Sebangki Pandak, Lubok Antu yang meninggal dunia selepas pemimpin-pemimpin SWP berceramah di rumah panjang itu pada 22 Julai lalu, tanya beliau.

“Saya difahamkan bahawa ahli keluarga mendiang bersetuju mengundang pemimpin-pemimpin SWP berceramah di rumah panjang itu.

“Sepatutnya SWP memberi insurans nyawa kepada keluarga mendiang sekiranya SWP memang benar memberi insurans kepada ahlinya yang meninggal dunia seperti mana yang diuar-uarkan oleh mereka sebelum ini,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berrucap pada Majlis Merarau Tahunan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SMK Lubok Antu di Kompleks Sukan Daerah Lubok Antu di sini, semalam.

Dalam majlis itu juga Nyalau menyampaikan simbolik NetBook 1Malaysia kepada pelajar sekolah.

Sebanyak 1,215 NetBook telah diberi kepada pelajar SMK Lubok Antu atas usaha Nyalau selama ini.

Di samping itu Nyalau sejak empat tahun lebih menjadi wakil rakyat Parlimen Lubok Antu telah menyumbang peruntukan projek kecil luar bandar (MRP) berjumlah RM75,600 bagi membangunkan SMK Lubok Antu.

Selain itu Nyalau melahirkan rasa kesal dengan sikap bekas Ahli Parlimen Lubok Antu Jawah Gerang yang suka memburuk-burukkan serta menaburkan fitnah terhadap pemimpin Barisan Nasional (BN) termasuk dirinya semasa berceramah bersama SWP di rumah-rumah panjang sekitar Lubok Antu.

“Saya pun kurang faham kenapa Jawah suka sangat memburukkan peribadi orang dan saya pun boleh juga bercakap memburuk-burukkan peribadi Jawah tetapi saya enggan berbuat demikian kerana perbuatan seperti itu tidak baik,” ujarnya.

Nyalau dan Jawah adalah anak kelahiran Rumah Lepang, Sayat, Lubok Antu dan mempunyai hubungan keluarga antara satu sama lain.

Dalam majlis itu Nyalau mengumumkan MRP sebanyak RM10,000 kepada PIBG SMK Lubok Antu.

Turut hadir dalam majlis itu Guru Besar SMK Lubok Antu Leslie Tawan Gindil, Penolong Pegawai Tadbir Daerah Lubok Antu Langgong dan ketua-ketua masyarakat sekitar Lubok Antu.