MBAS serbu 10 premis makanan beroperasi sebelum jam 3 petang

0

ALOR SETAR: Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) dan Majlis Agama Islam Kedah (MAIK) menyerbu 10 premis dan gerai makanan di bandar raya ini kelmarin hingga pagi semalam, kerana beroperasi sebelum jam 3 petang.

Ketua Bahagian Penguat kuasa MBAS Saifullizam Othman berkata, operasi yang turut melibatkan Pejabat Kesihatan Daerah Kota Setar itu susulan risikan dan juga maklumat awam mengenai perbuatan peniaga terbabit.

Selain barang perniagaan dirampas, peniaga juga akan dikenakan kompaun sebanyak RM300 selain kos pengalihan antara RM50 dan RM500, katanya kepada pemberita, di sini semalam.

Sementara itu, ketika serbuan di sebuah premis makanan di Jalan Gangasa di sini pada jam 11 pagi semalam, terdapat lebih 10 pelanggan lelaki yang sedang menunggu makanan bertempiaran lari apabila menyedari kehadiran pihak berkuasa.

Semasa serbuan yang turut disertai wakil media itu, tukang masak didapati sedang memasak manakala seorang lagi membungkus makanan yang diminta pelanggan.

Keadaan gerai yang kotor dan dipenuhi lalat disebabkan kedudukannya berhampiran tempat pembuangan sampah haram, jelas tidak menghalang umat Islam yang tidak berpuasa membeli makanan di situ.

Saifullizam berkata, pihaknya turut mengesan empat kes menjual makanan yang siap dibungkus dari but kereta.

Sehubungan itu beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai peniaga makanan beroperasi sebelum jam 3 petang agar menghubungi bilik gerakan MBAS yang beroperasi 24 jam di talian 04-7304319 atau bahagian penguatkuasaan 04-7332499. — Bernama