Penerima bantuan Program Sejambak Kasih bersyukur dengan keprihatinan kerajaan

0

LUNDU: Penerima bantuan Program Sejambak Kasih anjuran Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) meluah-kan rasa bersyukur terhadap usaha kerajaan negeri meringankan bebanan hidup mereka.

Penerima bantuan, Ibrahim Hamdani, 84, ketika ditemui semalam berkata walaupun diberikan tambahan elaun bantuan sebanyak RM50 tetapi ia akan digunakan sebaik mungkin.

“Pakcik tidak ada tempat untuk bercucuk tanam tetapi mungkin akan menanam di tanah peninggalan arwah bapa untuk suka-suka, lagipun sekarang sedang menumpang di rumah adik yang tinggal keseorangan.

“Hendak bercucuk tanam, mungkin tidak larat tetapi sekadar mencuba mungkin. Anak pakcik yang sorang pun selalu sakit darah tinggi dan diabetes, asyik keluar masuk hospital sahaja,” katanya ketika ditanya perasaannya ketika menerima bantuan RM50 bersama kit hijau.

Sementara itu, Mawi Salbi, 88, berasa gembira diberi tambahan RM50 kepada elaun Bantuan Orang Tua (BOT) berjumlah RM300 yang diterimanya setiap bulan.

Mawi bagaimanapun me-nyatakan kesukaran untuk bercucuk tanam disebabkan usia dan faktor kesihatan yang tidak mengizinkan.

Beliau memberitahu akan memberikan kit hijau yang mengandungi sudip tangan, tiga jenis benih sayuran, baja serta polistrena kepada anak saudaranya untuk dimanfaatkan.

Selain Ibrahim dan Mawi, lebih kurang 168 penerima bantuan lain diberikan kit hijau bagi lelaki dan kit ku-ning berisi peralatan membuat kek kepada penerima kaum wanita berserta RM50 masing-masing.

Menteri Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga Datuk Fatimah Abdullah berkata pihaknya memberikan bantuan berkenaan bagi membantu mereka yang me-merlukkan.

“Ini merupakan cara kita membantu mengurangkan beban mereka yang memerlukan bagi meningkatkan kualiti hidup keluarga miskin tegar.

“JKM mengadakan program ini sebagai nilai tambah bagi membantu golongan miskin tegar,” katanya ketika berucap dalam Majlis Pelancaran Program Sejambak Kasih di Masjid Darul Taqwa di sini semalam.

Fatimah berharap bantuan yang diberikan mampu membantu mengurangkan perbelanjaan dapur penerima bantuan sempena musim perayaan yang bakal menjelang tiba.

Setakat Jun tahun ini Program Sejambak Kasih anjuran JKM telah membelanjakan RM60,244,862 untuk diper-untukkan kepada 47,097 penerima di seluruh negeri.