Home - Utusan Borneo - Berita Tempatan - Pengunduran Lajim tidak beri kesan

Pengunduran Lajim tidak beri kesan

by Mahathir Haroun. Posted on July 31, 2012, Tuesday

KUCHING: Peletakan jawatan Ahli Parlimen Beufort Datuk Lajim Ukim dalam UMNO tidak memberi kesan mendalam terhadap perjuangan Barisan Nasional (BN).

Timbalan Speaker Dewan Rakyat Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, mungkin akan timbul sedikit masalah di Beaufort kerana masyarakat masih menyokongnya.

“Datuk Lajim keluar UMNO tidak memberi banyak kesan kepada BN termasuk kita di Sarawak.

“Cuma mungkin timbul sedikit masalah di Beufort kerana ada di kalangan masyarakat masih menyokongnya,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Sungkei Perdana P193 Santubong Zon BGS di sini, malam kelmarin.

Menurutnya, tidak banyak impllikasi psikologi timbul disebabkan peletakan jawatan itu kerana khabar angin mengenainya sudah lama kedengaran.

“Kerana ia sudah banyak disebut dengan menyatakan Datuk Lajim keluar BN dan semalam menjadi realiti.

“Jadi, kesannya tidak begitu mendalam kerana beliau (Lajim) juga mempunyai rekod dan pernah keluar dari parti lain dan masuk UMNO,” ujarnya.

Selain meletak jawatan dalam UMNO, Wan Junaidi menjelaskan, Lajim sepatutnya mengundur diri sebagai timbalan menteri.

“Ini yang saya hairankan kenapa tidak ada pengumuman beliau (Lajim) meletak jawatan sebagai timbalan menteri sebaliknya menyerahkan perkara itu kepada Perdana Menteri.

“Bagi saya, kalau meletak jawatan dalam UMNO harus juga meletak jawatan sebagai timbalan menteri,” jelasnya.

Sabtu lepas, Lajim mengumumkan meletak jawatan sebagai Ahli Majlis Tertinggi (MT) dan Ketua UMNO Beufort.

Print Friendly

To enable your comment to be published, please refrain from vulgar language, insidious, seditious or slanderous remarks. This includes vulgar user names.

Comments are closed.