Syarikat senjata tempatan mampu hasilkan 200,000 senapang M4

0

KUALA LUMPUR: Kementerian Pertahanan yakin syarikat persenjataan tempatan berupaya menghasilkan 200,000 senapang jenis M4 yang disasarkan bagi menggantikan senapang M16 yang digunakan ketika ini.

Menteri berkenaan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata keyakinan itu berlandaskan kepada perjanjian pemindahan teknologi dilaksana antara syarikat tempatan dan Amerika Syarikat membolehkan 85 peratus pembuatan senjatanya dihasilkan di negara ini.

“Buat permulaan, sebanyak 11,000 unit telah dihasilkan dan diuji serta mendapat kelulusan untuk kegunaan domestik pada tahun 2013,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Industri Pertahanan, Penguatkuasaan dan Keselamatan (MIDES) di sini semalam.

Beliau berkata, sasaran secara berperingkat penghasilan senapang M4, senjata paling ringan dan berukuran sederhana dengan versi mod tembakan separa automatik dan tembakan tiga semburan itu, tidak terhad kepada kegunaan tentera sebaliknya boleh turut digunakan agensi keselamatan lain di negara ini.

Berbanding senjata M16 yang mula digunakan di negara ini pada tahun 1976, M4 mempunyai ketebalan maksimum bagi mengurangkan kepanasan semasa menjalankan tembakan semburan dalam jangka masa lebih lama.

Mengenai MIDES, Ahmad Zahid berkata mesyuarat tiga jam itu turut membincangkan usaha penambahbaikan yang akan dilakukan bagi memajukan industri teknologi maklumat dan komunikasi terutama dalam aspek ‘sekuriti siber’ bagi menghadapi peperangan siber.

“Dalam industri ICT kita masih berada di tahap yang rendah yang mana usaha serta kerjasama perkongsian pintar antara ATM dan syarikat ICT akan dibangunkan, dan beberapa peralatan penguatkuasaan akan dimajukan dan dibekalkan sendiri oleh syarikat tempatan bagi menghadapi peperangan siber,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, kementerian tidak akan meminta tambahan peruntukan pada Belanjawan 2013 yang akan dibentangkan September depan, sebaliknya kekal dengan dana sepertimana yang diputuskan dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh.

Namun begitu, katanya usaha penambahbaikan dan menaik taraf beberapa aset tetap akan dilakukan, meskipun peruntukan tidak ditambah.

Mesyuarat kali pertama pada tahun ini antara lain membincangkan status terkini perkembangan industri pertahanan tempatan serta laporan kumpulan kerja MIDES. — Bernama