Home - Utusan Borneo - Berita Sabah - Dua beradik dilapor hilang
Dua beradik dilapor hilang
Posted on August 2, 2012, Thursday
Kali terakhir dilihat jam 1.30 petang Khamis lalu. Kehilangan misteri, tiada kesan dan petunjuk
KOTA KINABALU: Dua beradik termasuk seorang kanak-kanak berusia tujuh tahun dilaporkan hilang sejak Khamis lalu ketika dalam perjalanan pulang ke rumah berhampiran Kampung Kirurau Pulutan, Menggatal, dan masih belum ditemui sehingga kini.
Difahamkan, Jaxfelix Calvin Goekan, 7, dan kakaknya, Suina Goekan, 27, kali terakhir dilihat di satu lokasi berhampiran pencawang elektrik di kampung berkenaan kira-kira jam 1.30 petang.
Kedua-dua mereka dikatakan hilang setelah Suina mengambil adiknya yang merupakan murid tahun satu di Sekolah Rendah Kebangsaan (SRK) Lok Yuk, Inanam itu.
Ibu kepada dua beradik terbabit, Taini Sumping, 54, ketika dihubungi berkata mereka sekeluarga masih tertanya-tanya akan misteri kehilangan Calvin dan Suina kerana gagal mengesan sebarang tanda di mana mereka berada.
Menurutnya, gerakan mencari melibatkan penduduk setempat, polis, bomba, Rela, dan Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) selama sehari suntuk telah dijalankan pada Jumaat lalu, namun gagal mengesan sebarang tanda atau apa-apa barang yang dapat membantu dalam pencarian seperti kasut, beg dan sebagainya.
“Kedua-dua anak saya masih gagal ditemui sehingga sekarang dan kami sudah meminta bantuan pihak berkuasa, namun mereka masih belum dikesan.
“Kepada sesiapa yang mempunyai maklumat mengenai kehilangan mereka, sila hubungi balai polis berdekatan ataupun menghubungi saya di talian 019-5387598,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Bandaraya Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Ahmad Sofi Zakaria mengesahkan kejadian itu dan pihaknya bagaimanapun masih melakukan siasatan serta pencarian terhadap dua beradik yang hilang berkenaan.
“Polis mengesahkan kejadian melibatkan individu yang hilang dan pencarian serta siasatan masih diteruskan,” katanya ketika dihubungi.
<< Previous Entry - Next Entry >>



