Home - Utusan Borneo - Berita Sabah - Bekas banduan ke tali gantung

Bekas banduan ke tali gantung

Posted on August 3, 2012, Friday

TAWAU: Mahkamah Tinggi semalam menjatuhkan hukuman gantung sampai mati ke atas seorang lelaki warga Filipina bagi kesalahan membunuh rakan senegaranya pada 2007.

Abdul@Wilson Arad, 45, bekas banduan didakwa dengan niat bersama membunuh Said Alian, 51, di sebuah rumah bernombor B24A, Jambatan 2, Kg. Kurnia Jaya, Batu 4, Jalan Apas, pada jam 4.30 petang, 30 Ogos 2007.

Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Douglas Primus membuat keputusan berkenaan  selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan tertuduh membunuh dengan niat bersama mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Pihak pendakwaan yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya Hamdan Hamzah memanggil 11 saksi sepanjang tempoh berbicaraan kes berkenaan.

Berdasarkan keterangan saksi, pada hari kejadian Abdul yang bersenjatakan pisau ‘Rambo’ bersama anaknya yang memegang papan mengejar mangsa kemudian menikam dan memukul mangsa hingga berlumuran darah sebelum melarikan diri.

Pada 16 Mac 2010, Abdul ditahan polis atas kesalahan imigresen di sebuah pusat tahanan dan beberapa orang yang turut ditahan di situ mengenali tertuduh dan memaklumkan kepada pihak polis, Abdul telah melakukan pembunuhan.

Abdul yang tidak bekerja dan mempunyai empat orang anak itu pernah dihukum penjara selama enam bulan atas kesalahan jenayah mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan 32 tahun lalu namun menggunakan nama berbeza iaitu Abdul Garbin Pidral. — Bernama

Print Friendly

To enable your comment to be published, please refrain from vulgar language, insidious, seditious or slanderous remarks. This includes vulgar user names.

Comments are closed.