Home - Utusan Borneo - Berita Sabah - Guna taktik wanita mengandung curi barangan pasaraya

Guna taktik wanita mengandung curi barangan pasaraya

by RUZAINI ZULKIFLI ruzainiUB@gmail.com. Posted on August 4, 2012, Saturday

ANTARA barangan ditemui di dalam kenderaan yang ditinggalkan oleh suspek.

KOTA KINABALU: Tindakan berani seorang pengawal keselamatan sebuah pasaraya di Kolombong berjaya mematahkan kegiatan mencuri barangan yang dilakukan oleh beberapa individu, termasuk dua wanita berjubah di sini, kira-kira jam 9 malam kelmarin.

Wanita berpakaian jubah itu memasuki pasaraya dan kemudian keluar dengan keadaan seperti wanita mengandung, mendapat perhatian seorang pengawal keselamatan berusia 50an yang mengekori mereka setelah berasa curiga.

Menurutnya, ketika pengawal itu cuba menahan wanita berkenaan, tidak semena-mena dia didatangi oleh beberapa lelaki yang mengacukan pisau ke arah lehernya.

“Saya diugut oleh lelaki terbabit untuk tidak berbuat apa-apa. Mujur ketika itu beberapa pengawal keselamatan lain tiba untuk membantu saya, menyebabkan lelaki itu dan rakannya melarikan diri ke kawasan letak kenderaan,” katanya.

Pengawal keselamatan kemudian mengejar penjenayah terbabit. Difahamkan, ketika mengejar suspek, terdapat lapan lelaki dan dua wanita dalam tiga kenderaan jenis Proton Saga, Exora dan Toyota Avanza.

Dua daripada kenderaan itu berjaya ditahan, tetapi enam lelaki di dalam kedua-dua kenderaan berkenaan berjaya melarikan diri. Manakala sebuah Proton Exora sempat memecut lari.

Ketika pemeriksaan dilakukan ke atas dua kenderaan yang ditinggalkan itu, terdapat pelbagai jenis barangan seperti baju, seluar, makanan dan minuman ringan dipercayai dicuri dari pasaraya berkenaan berdasarkan tanda harga yang tertera.

Ketua Polis Bandaraya Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Ahmad Sofi Zakaria ketika dihubungi kelmarin mengesahkan kejadian berkenaan.

“Siasatan masih dijalankan dan polis sedang mengesan semua suspek yang dipercayai terlibat dalam kejadian ini,” katanya.

Print Friendly

To enable your comment to be published, please refrain from vulgar language, insidious, seditious or slanderous remarks. This includes vulgar user names.

Comments are closed.