Home - Utusan Borneo - Berita Sabah - Pemuda bisu nekad selamatkan kanak-kanak dua tahun
Pemuda bisu nekad selamatkan kanak-kanak dua tahun
by AMIR ANUAR. Posted on August 4, 2012, Saturday
TAWAU: Tindakan nekad seorang pemuda bisu meluru masuk ke rumah yang sedang terbakar berjaya menyelamatkan nyawa seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun, dalam kejadian kebakaran di sebuah kuarters di sini kelmarin.
Utusan Borneo difahamkan, kebakaran kira-kira jam 10. 30 pagi di kuarters perumahan Kg Jambatan Putih, Ladang Imam milik Sime Darby itu membabitkan dua keluarga mangsa warga tempatan.
Ketika kejadian itu, pemuda bisu terbabit yang dikenali sebagai Ramsah, 23, sedang tidur di rumah berkenaan sebelum menyedari api sudah mula marak dan asap berkepul-kepul memenuhi kawasan ruang rumah mangsa.
Ramsah dikatakan terus melompat keluar dari rumah melalui jendela, namun meluru masuk semula ke dalam rumah walaupun tangannya tercedera, apabila mendapati anak kakaknya masih terperangkap di dalam rumah mereka.
Dalam kejadian tersebut, dua unit rumah kuarters musnah sama sekali, sementara enam penghuninya membabitkan seorang wanita dewasa, dua pemuda dan tiga kanak-kanak berjaya menyelamatkan diri.
Seorang mangsa, Irwan Madde, 20, berkata sebelum kejadian berlaku, dia sedang tidur dalam bilik bersama anak buahnya yang berusia lapan tahun, namun tersedar selepas mendengar suara bapanya berteriak “Api! Api!”.
“Selepas terjaga, saya kelam-kabut dan terus mencapai tangan anak buah saya sebelum menolaknya ‘kuat-kuat’ ke luar rumah kerana api dari sebelah rumah sudah mula memasuki rumah kami.
“Saya ingatkan sudah mahu mati, tapi mujur saya terlihat cahaya dari jendela rumah dan terus melompat keluar menerusi jendela itu,” katanya kerana insiden itu berlaku pantas.
Sementara itu, Pemangku Ketua Balai Bomba Tawau, Pegawai Bomba Kanan II, Zougarana Konin, berkata pihak bomba menerima panggilan jam 10. 34 pagi dan menggerakkan 15 anggota dan pegawai dengan dua jentera bomba ke lokasi kejadian.
Zougarana berkata bomba tiba di lokasi kejadian jam 10.46 pagi dan mendapati kedua-dua unit rumah kuarters pekerja ladang terbabit sudah terbakar sebanyak 95 peratus.
“Api dapat dikawal pada jam 10.59 pagi dan operasi tamat sepenuhnya pada jam 11.26 pagi,” katanya, sambil menjelaskan jumlah kerugian danm punca kebakaran masih dalam siasatan.
<< Previous Entry - Next Entry >>




