Home - Utusan Borneo - Berita Sabah - Punca kematian paus kerana sakit?
Punca kematian paus kerana sakit?
by RUZAINI ZULKIFLI ruzainiUB@gmail.com. Posted on August 4, 2012, Saturday

ORANG awam dan penduduk kampung di Kuala Penyu mengerumuni bangkai paus yang mati sekitar jam 8 malam Khamis lalu.
KOTA KINABALU: Kematian paus jenis Brydes yang terdampar di pantai Kampung Sungai Hujung Air di Kuala Penyu malam kelmarin, dipercayai berpunca daripada keadaan sakit mamalia berkenaan.
Pengarah Jabatan Perikanan Negeri, Rayner Galid, berkata keadaannya yang lemah menyebabkan ia gagal ditunda ke laut dalam.
Pihaknya telah berbuat demikian sebanyak dua kali, tetapi haiwan itu tetap kembali ke pantai.
“Kita akan menanam bangkai mamalia itu di kawasan pantai pada hari ini (kelmarin),” katanya ketika dihubungi.
Terdahulu, ikan paus jantan sepanjang 16 meter dengan berat kira-kira 10 tan itu ditemui terdampar pada jam 10.30 pagi sebelum mati pada jam 8 malam.
Sementara itu, Pensyarah Institut Penyelidikan Marin Borneo Universiti Malaysia Sabah (UMS), Dr John Madin berkata paus dari spesies berkenaan memang pernah direkodkan berada di perairan Sabah sebelum ini.
“Kita akan cuba mengambil sampel dan mungkin meminta tulangnya bagi membuat kajian lanjut mengenai spesies ini,” katanya.
<< Previous Entry - Next Entry >>



