Home - Utusan Borneo - Berita Tempatan - 110 kes sah positif kolera di Bahagian Bintulu: Dr Hasan

110 kes sah positif kolera di Bahagian Bintulu: Dr Hasan

Posted on August 5, 2012, Sunday

BINTULU: Sebanyak 110 kes disah-kan positif kolera daripada 624 kes yang dikesan menunjukkan tanda-tanda penyakit itu di bahagian ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Seri Dr Hasan Abdul Rahman berkata, hasil pemeriksaan ke atas 110 pesakit itu mendapati najis mereka mengandungi kuman taun atau ‘vibrio cholerae.’

Beliau berkata, umur pesakit yang dijangkiti wabak itu adalah kurang satu tahun hingga golongan dewasa, namun tiada kes kritikal dilaporkan.

Justeru, katanya, pihaknya menasihati penduduk di bahagian ini agar menjaga kebersihan diri, persekitaran mereka serta membuat pemeriksaan saringan.

“Kuman kolera adalah kuman yang boleh hidup di dalam badan manusia, keluar dari badan melalui najis. Keadaan itu berlaku disebabkan individu yang membawa kuman tersebut.

“Oleh itu, orang ramai diseru agar tidak membeli dan makan makanan yang kotor, tercemar dan terdedah terutama apabila melihat penjual yang tidak menjaga kebersihan semasa mengendalikan makanan dan menjual makanan di gerai-gerai bazar Ramadan,” ujarnya pada sidang media di sini, semalam.

Dr Hasan berkata, orang ramai juga dinasihati untuk tidak membeli air tidak dimasak yang dijual di bazar Ramadan yang mungkin diambil terus dari saluran air paip atau air yang tidak dimasak digunakan untuk membuat ais, makanan yang dihinggapi lalat dan gerai yang kotor.

Dalam pada itu, katanya, kes ko-lera di sini mula dikesan pada 6 Julai lalu dan proses rawatan yang dilakukan ke atas pesakit paling cepat adalah tiga hari sehingga simptom-simptom dan najis yang diperiksa negatif.

Ditanya mengenai langkah lain bagi membendung wabak itu, Dr Hasan berkata, menjaga kebersihan diri adalah tindakan yang boleh menghalang wabak itu daripada terus merebak.

“Sehingga kini wabak itu masih aktif dengan beberapa kes baharu dilaporkan berlaku. Apa yang diminta ialah penduduk perlu memberi kerjasama (semasa pemeriksaan) dan kami akan menjalankan peranan kami.

“Sekiranya ada simptom-simptom, saya merayu segeralah ke klinik berdekatan untuk menjalani saringan pemeriksaan kerana pemeriksaan dan rawatan terhadap penyakit berjangkit itu adalah percuma di klinik hospital lama kerajaan di sini berbanding hospital swasta.

“Jangan bimbang kami akan menjaga anda sebaiknya,” katanya sambil menambah kes pertama mula dikesan di Sungai Kemena semasa acara regata baru-baru ini.

Print Friendly

To enable your comment to be published, please refrain from vulgar language, insidious, seditious or slanderous remarks. This includes vulgar user names.

Comments are closed.