Home - Utusan Borneo - Berita Sabah - Mercun, bunga api dirampas

Mercun, bunga api dirampas

by RUZAINI ZULKIFLIruzainiUB@gmail.com. Posted on August 7, 2012, Tuesday

 

JANATHAN (tengah) menunjukkan sebahagian mercun yang dirampas Kastam, dalam sidang media kelmarin.

KOTA KINABALU: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) berjaya merampas 16,741 kotak mercun dan bunga api yang bernilai hampir setengah juta ringgit dalam dua serbuan berasingan di ibu negeri baru-baru ini.

Pengarahnya, Dr Janathan Kandok, berkata dua serbuan itu dilakukan pada 3 Ogos lepas dan pihaknya merampas mercun dan bunga api pelbagai jenama termasuk Crazy Bang, Bird Egg dan Happy Boom yang dipercayai diseludup dari negara jiran.

“Nilai pasaran semasa rampasan itu dianggarkan RM490,000 manakala jumlah cukai terlibat pula RM46,377.18,” katanya, sambil menambah kejayaan rampasan itu adalah hasil intipan dan risikan JKDM.

Beliau berkata dalam serbuan ini pihaknya turut merampas sembilan kotak mercun yang tertera `Selamat Hari Raya’ di mana disyaki sebagai taktik penyeludup memperdayakan orang ramai kononnya ia sah dari segi penjualan.

“Kita masih menyiasat perkara ini sebagaimana taktik penjualan mercun mancis yang menggunakan logo 1Malaysia dahulu,” katanya dalam sidang media di sini. Hadir sama Timbalan Pengarah JKDM negeri, Hamzah Sundang.

Beliau berkata dua serbuan berasingan itu diadakan di Taman BDC Kelombong, Inanam, dekat sini.

Janathan berkata menerusi serbuan pertama sekitar jam 10.30 pagi, Kastam berjaya merampas 1,932 paket bunga api dan mercun dengan nilai pasaran RM40,000 dan cukai berjumlah RM4,474.54 serta menahan seorang lelaki tempatan berusia 57 tahun.

“Kita percaya suspek memperolehi bekalan mercun dan bunga api dari sumber tidak diketahui dan menyimpan bekalan itu di dalam rumah.

“Apabila ada pembeli, suspek akan mengambil bekalan di rumahnya untuk diserah kepada pembeli. Kita suspek juga menjadikan rumah sebagai stor menyimpan mercun dan bunga api berkenaan,” katanya.

Bagi kes kedua pada tarikh sama, pihaknya menyerbu sebuah rumah yang tidak berpenghuni di mana dipercayai digunakan sebagai stor menyimpan mercun dan bunga api.

“Dalam serbuan kedua ini, kita merampas 14,809 kotak mercun dan bunga api yang mencecah RM350,000 dan harga pasaran dan cukai berjumlah RM41,902.64,” katanya, sambil menambah tiada tangkapan dilakukan dalam serbuan berkenaan.

Janathan turut menjelaskan menjelang musim perayaan ini, pihaknya memperoleh tiga kes mercun dan bunga api dengan nilai pasaran mencecah RM70,000 yang melibatkan tiga lelaki tempatan berusia 22 hingga 35 tahun.

Kes-kes terbabit diperoleh di Tuaran, Likas dan Kinarut dengan jumlah cukai terlibat adalah RM9,160.52.

 

 

Print Friendly

Advertisement

To enable your comment to be published, please refrain from vulgar language, insidious, seditious or slanderous remarks. This includes vulgar user names.

Comments are closed.