Home - Utusan Borneo - Berita Nasional - Data hasil tangkapan tentukan riwayat lesen dan subsidi minyak nelayan

Data hasil tangkapan tentukan riwayat lesen dan subsidi minyak nelayan

Posted on August 8, 2012, Wednesday

KUANTAN: Peraturan baru pengambilan data pendaratan ikan nelayan laut dalam menerusi LOV dijangka dapat mengurangkan kadar ketirisan sumber ikan negara, kata Ketua Pengarah Perikanan, Datuk Ahamad Sabki Mahmood.

Beliau berkata peraturan Laporan Operasi Vesel itu yang dikuatkuasakan mulai 30 Ogos depan akan menjadi pengukur kepada hasil tangkapan nelayan laut dalam.

Bercakap kepada pemberita selepas taklimat LOV kepada pengusaha vesel, petugas perikanan dan LKIM di sini, semalam, Ahamad Sabki berkata setiap kali pendaratan ikan, nelayan perlu merekod jumlah tangkapan dengan disahkan oleh petugas Jabatan Perikanan dan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM).

“Kaedahnya mudah saja untuk memastikan bot yang menyumbang kepada pendaratan ikan yang baik akan kekal dalam industri manakala bot yang gagal mendaratkan ikan pada jumlah tertentu akan terkeluar daripada sistem,” katanya.

Menurut beliau, jumlah pendaratan ikan akan dikategorikan kepada A, B, C dan D yang akan digunakan oleh jabatan sebagai penentuan terhadap kedudukan nelayan terbabit.

Katanya, nelayan yang mencapai tahap A dan B bagi tangkapan tahunan dikategorikan baik manakala bagi nelayan tahap C akan ditarik subsidi minyak yang diberikan dan D pula tidak dibenarkan memperbaharui lesen tangkapan mereka.

Ahamad Sabki berkata peraturan LOV ini juga digunakan oleh Jabatan Perikanan dan LKIM untuk memantau pergerakan nelayan selain dapat mengurangkan hasil tangkapan ikan daripada dibawa keluar negara tanpa dikesan.

Beliau berkata pihaknya sedang memantau semua bot nelayan yang diberikan subsidi minyak dan ketika ini sebanyak 318 bot nelayan dalam proses digantung lesen mereka kerana didapati gagal membuat pendaratan ikan seperti had yang ditetapkan. — Bernama

Print Friendly

To enable your comment to be published, please refrain from vulgar language, insidious, seditious or slanderous remarks. This includes vulgar user names.

Comments are closed.