Home - Utusan Borneo - Berita Tempatan - Keperluan awam, swasta dijangka jadi tumpuan

Keperluan awam, swasta dijangka jadi tumpuan

by Mohd Norhadie Sahari. Posted on August 8, 2012, Wednesday

AHMAD LAI

MIRI: Pembentangan Belanjawan 2013 pada September depan dijangka memberi keutamaan dan memenuhi keperluan rakyat sama ada mereka yang bekerja di sektor awam mahupun swasta.

Ahli Parlimen Sibuti, Ahmad Lai Bujang berkata kerajaan tidak akan melupakan keperluan-keperluan rakyat dari segi ekonomi dan sosial sebaliknya kebajikan kumpulan sasar akan terus dibela.

“Kita percaya bahawa Perdana Menteri Datuk Seri  Najib Tun Razak sudah me-rancang sesuatu dalam Belanjawan 2013 dan beliau dijangka akan memberi berita gembira kepada semua rakyat,” katanya ketika ditemui semalam.

Beliau memberitahu, sebelum Belanjawan 2013 lagi, Najib yang juga Menteri Kewangan sudah memberikan pelbagai bentuk bantuan dan suntikan dana untuk meningkatkan taraf hidup rakyat.

“Dalam pembentangan itu nanti, beliau dijangka akan mengumumkan lebih banyak bantuan kepada rakyat sama ada yang bekerja dalam sektor awam ataupun swasta,” ujarnya.

Ahmad Lai juga berharap konstituensi Parlimen Sibuti turut tidak ketinggalan daripada menerima suntikan dana khasnya bagi meningkatkan kemudahan asas, sekolah dan ekonomi rakyat.

“Kita mengharapkan supaya kerajaan memberi keutamaan untuk merancakkan lagi kemudahan asas luar bandar seperti bekalan air, elektrik dan jalan raya yang lengkap menjelang 2015,” katanya.

Beliau turut memberitahu, dari sektor perladangan contohnya, kerajaan harus menyediakan dana tambahan untuk menyalurkan benih-benih sawit kepada petani di luar bandar.

“Jika ada pemohon yang layak dan berhak menerima bantuan benih sawit, maka pihak pelaksana tidak perlu pilih kasih atau masih mengamalkan birokrasi sebaliknya harus menyalurkan bantuan itu dengan segera,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Belanjawan 2013 juga perlu mempertimbangkan bantuan kepada nelayan khasnya bantuan membaiki perahu, enjin bot, pukat dan sebagainya.

“Kumpulan ini perlu diberi keutamaan oleh kerajaan kerana mereka amat memerlukan bantuan supaya taraf ekonomi mereka turut meningkat sama seperti sektor-sektor lain,” jelasnya.

Pada masa sama, dalam merancakkan lagi ekonomi negara, kerajaan juga harus memberi bantuan kepada pemain Industri Kecil dan Sederhana (IKS) khususnya dalam pemohonan pinjaman.

“Kerajaan komited dan menggalakkan rakyat terlibat dalam IKS. Namun, satu peruntukan yang mencukupi perlu disediakan bagi membantu pemohon baharu memohon pinjaman untuk berniaga,” katanya.

Ahmad Lai turut memuji sikap keterbukaan Perdana Menteri dalam blognya iaitu ingin mendapatkan maklum balas daripada rakyat tentang Bajet 2013 yang bakal dibentangnya kelak.

Print Friendly

To enable your comment to be published, please refrain from vulgar language, insidious, seditious or slanderous remarks. This includes vulgar user names.

Comments are closed.