Home - Utusan Borneo - Berita Nasional - Pusat beli-belah miliki parkir paling selamat akan diiktiraf
Pusat beli-belah miliki parkir paling selamat akan diiktiraf
Posted on August 8, 2012, Wednesday
KUALA LUMPUR: Pusat beli-belah yang memiliki kawasan parkir paling selamat akan diberi pengiktirafan oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) menerusi program ‘Car Park League Table’ (CPTL).
Timbalan Menterinya Datuk Lee Chee Leong berkata menerusi program itu, KDN juga akan mengumumkan kepada kepada masyarakat nama pusat beli-belah terbabit.
Antara kriteria yang akan dinilai melalui CPTL ini ialah aspek keselamatan yang disediakan pihak pengurusan pusat beli-belah terbabit seperti pencahayaan, alat keselamatan dan sebagainya, katanya pada sidang media, di sini semalam.
Lee berkata untuk peringkat permulaan, KDN mengutamakan kompleks beli-belah besar dan terkemuka.
“Kita percaya melalui program ini pihak pusat beli-belah akan bekerja keras untuk memastikan tiada jenayah berlaku di tempat meletak kenderaan dan dalam masa yang sama menambahkan bilangan pelanggan,” katanya.
Beliau berkata CPTL akan dilaksanakan dalam masa terdekat selepas perbincangan mengenainya selesai membabitkan Bahagian Enam Bidang Keberhasilan Utama Negara, polis, Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu) serta pihak berkuasa tempatan dan persatuan berkaitan. — Bernama
<< Previous Entry - Next Entry >>
Advertisement





