Home - Utusan Borneo - Berita Sabah - Polis berkas dua sekawan yang menyamar penjawat awam, cuba memperdaya seorang wanita
Polis berkas dua sekawan yang menyamar penjawat awam, cuba memperdaya seorang wanita
by RUZAINI ZULKIFLI,ruzainiUB@gmail.com. Posted on August 10, 2012, Friday

SOFI (kanan) menyampaikan sijil penghargaan kepada salah seorang anggota polis ekoran kejayaan kes curi motosikal di Menggatal baru-baru ini.
KOTA KINABALU: Dua sekawan menanggung padah setelah kegiatan menyamar mereka sebagai penjawat awam terbongkar dalam satu kejadian di Kampung Air, di sini, baru-baru ini.
Kedua-dua suspek merupakan lelaki tempatan, berusia 21 dan 28 tahun, dikatakan cuba memperdaya seorang mangsa wanita di sebuah lokasi berhampiran Kampung Air, namun gagal setelah menyedari kehadiran polis peronda.
Ketua Polis Bandaraya Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Ahmad Sofi Zakaria, berkata dalam kejadian pada 8 Ogos lalu, antara jam 4.10 dan 4.15 pagi, kedua-dua suspek dipercayai mendekati mangsa berusia 37 tahun yang ketika itu sedang menunggu ketibaan suami setelah habis waktu bekerja.
“Mangsa dipercayai didatangi dua suspek yang mendakwa mereka sebagai penjawat awam dan mahu memeriksa dokumen mangsa.
“Namun cubaan kedua-dua suspek terbantut setelah menyedari polis peronda datang ke arah mereka,” katanya, sambil menambah kedua-dua suspek kemudian bertindak melarikan diri.
Susulan kejadian itu, Sofi berkata polis berjaya memberkas suspek pertama di kawasan Maybank Kampung Air kira-kira jam 4.40 pagi.
“Hasil tangkapan pertama, polis kemudian menahan seorang lagi suspek di perkarangan Hotel Ming Garden sekitar jam 5.10 pagi pada hari sama,” katanya.
Kedua-dua suspek kini ditahan reman mengikut Seksyen 170 Kanun Keseksaan atas kesalahan menyamar.
Sementara dalam kes berasingan, dua lelaki tempatan berusia 24 dan 25 tahun ditahan polis setelah didapati terlibat dalam aktiviti judi siber.
Sofi berkata, dalam serbuan berasingan dilakukan ke atas dua buah premis berhampiran Inanam Central, Inanam pada 7 Ogos lepas turut menyaksikan pelbagai peralatan komputer dan wang tunai dirampas.
“Dalam serbuan di lokasi pertama, polis berjaya merampas beberapa unit komputer dan wang tunai berjumlah RM168. Seorang lelaki berusia 24 tahun turut ditahan untuk membantu siasatan.
“Sementara itu, serbuan kedua menyaksikan seorang lelaki berusia 25 tahu ditahan dengan beberapa unit komputer dan wang tunai RM400 turut dirampas,” katanya.
Kesemua yang ditahan dan rampasan terbabit disiasat mengikut Seksyen 4 (B) a Akta Rumah Judi Terbuka 1953 yang boleh dikenakan hukuman denda tidak kurang RM10,000 dan tidak lebih RM100,000 bagi setiap mesin yang telah dirampas dan penjara tidak lebih daripada lima tahun, jika sabit kesalahan.
Sofi berkata demikian dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu kelmarin.
Dalam majlis berkenaan, Sofi turut menyerahkan sijil penghargaan kepada enam anggota polis dari Menggatal ekoran penahanan seorang suspek yang terlibat kes curi motosikal pada 30 Julai lepas.
<< Previous Entry - Next Entry >>



