Home - Utusan Borneo - Berita Tempatan - SCORE: Sarawak perlu kelonggaran bagi rancang pendidikan teknikal
SCORE: Sarawak perlu kelonggaran bagi rancang pendidikan teknikal
Posted on August 11, 2012, Saturday
KUCHING: Sarawak masih berdepan dengan keperluan untuk melahirkan tenaga kerja separa mahir dan mahir bagi memenuhi peluang pekerjaan di kawasan Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE).Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud berkata menyedari perkara itu maka Sarawak memerlukan satu bentuk perancangan yang baik terutamanya dalam membangunkan pendidikan teknikal.
Menurut beliau, sehubungan itu kerajaan negeri memohon satu bentuk kelonggaran bagi membolehkan Sarawak merancang pendidikan teknikal sendiri bagi mencapai matlamat berkenaan.
“Dalam masa 10 tahun akan datang, aktiviti hiliran Sarawak akan berubah kepada pelbagai bentuk dan ini memerlukan kita melengkapkan diri dengan kemahiran lebih mengkhusus.
“Malah kira-kira 52 peratus peluang pekerjaan yang ada di kawasan pembangunan SCORE adalah bagi pekerja separa mahir, mahir dan profesional,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Hari Terbuka Roadmap Program Transformasi Kerajaan (GTP) 2.0 anjuran Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (PEMANDU) yang dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif PEMANDU Datuk Seri Idris Jala di sini, semalam.
Taib menambah, SCORE merupakan satu perancangan yang benar-benar menumpukan pembangunan kepada Sarawak.
Sehubungan itu kata beliau, kini sudah tiba masanya bagi Sarawak untuk menyediakan latihan kemahiran yang sesuai kepada anak-anak tempatan bagi memenuhi keperluan pekerjaan.
“SCORE membolehkan negeri kita melonjakkan ekonomi yang lebih tinggi dan mampu memacu penduduk kita ke arah pendapatan lebih tinggi,” tegasnya.
Berhubung program Roadmap GTP yang dianjurkan katanya, ia amat disambut baik.
Taib berkata ia melalui pelbagai inisiatif di bawah GTP yang memberi impak besar kepada rakyat Sarawak.
“Selama tiga tahun GTP dilaksanakan, tidak diragui lagi bahawa hasil GTP 1.0 menunjukkan betapa seriusnya kerajaan membantu rakyat.
“Berdasarkan kejayaan GTP 1.0, kita berharap ia memberi peluang serta pengalaman kepada Sarawak dalam strategi GTP 2.0,” katanya.
<< Previous Entry - Next Entry >>



