Anwar nafi jumpa Taib

0

Kali terakhir jumpa pada majlis berbuka puasa anjuran Tun Abdullah pada 2004

KUCHING: Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim menyangkal dakwaan bahawa beliau berjumpa de-ngan Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud di Singapura baru-baru ini.

Menurutnya, kali terakhir beliau bertemu dengan Taib adalah pada majlis berbuka puasa di Kepala Batas anjuran bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi pada 2004.

“Ia tidak benar. Lagipun dalam jangka masa beberapa bulan ini saya tidak ada ke Singapura,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusi-kan mesyuarat bersama pemimpin PKR Negeri, di sini, semalam.

Anwar berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai laporan blog yang menyatakan ketua pembangkang tersebut dan Pengerusi BN Negeri mengadakan perjumpaan secara sulit di Singapura pada Jun lalu.

Turut hadir, Ketua PKR Sarawak Baru Bian, Naib Pengerusi PKR Negeri See Chee How, bekas Timbalan Menteri Perumahan dan Ke-rajaan Tempatan Datuk Seri Pang-lima Lajim Ukin.

Sementara itu, Anwar menjelaskan bahawa kunjungannya ke Sarawak kali ini adalah untuk mengetahui perkembangan terbaharu di Sarawak, selain memberi maklumat terkini mengenai senario politik di Semenanjung Malaysia.

Pada masa yang sama, katanya kunjungannya juga adalah untuk memantapkan lagi jentera pembangkang dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) kelak.

Mengenai beberapa pemimpin yang keluar parti dan menyertai pembangkang, beliau memberitahu bahawa mereka bebas menggunakan mana-mana parti pembangkang sebagai tiket bertanding pada PRU13 akan datang.

Menurutnya, PKR akan lebih me-numpukan kepada Sabah memandang-kan keadaan di Sarawak lebih ‘okay’.

Antara pemimpin yang telah ke-luar BN adalah Lajim yang juga Ahli Parlimen Beaufort dan Datuk Seri Wilfred Mojilip Bumburing (Ahli Parlimen Tuaran) di Sabah.

Beliau yang akan menemui para penyokong pakatan pembangkang di Sabah pada hari ini dijangka akan mengumumkan beberapa kejutan menarik.

Ditanya sekiranya lebih ramai ahli BN akan mengikut langkah Lajim dan Wilfred menyertai pembangkang, katanya:

“Anda boleh jangkakan beberapa pengumuman menarik di Sabah pagi esok (hari ini).

“Anda tahu stail saya, saya akan biarkan mereka sendiri umumkan,” katanya.

Lajim yang juga pernah menyandang jawatan ahli Majlis Tertinggi UMNO memberitahu, beliau bertindak meletak jawatan kerana tidak puas hati dengan parti tersebut.

“Apa pun, ia bukan sebab peribadi tetapi untuk kepentingan rakyat,” katanya.