Home - Utusan Borneo - Berita Tempatan - Jangan politik tema Hari Kemerdekaan

Jangan politik tema Hari Kemerdekaan

Posted on August 12, 2012, Sunday

KUCHING: Sambutan Hari Kemerdekaan Ke-55 dengan bertemakan ‘Janji Ditepati’ sepatutnya tidak dijadikan modal pihak pembangkang untuk berpolitik, kata Timbalan Speaker Dewan Rakyat Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Beliau berkata, perbezaan fahaman politik bukan perkara yang perlu ditimbulkan apabila meraikan hari bersejarah itu.

Menurutnya, pihak pembangkang sebenarnya hanya menimbulkan isu melibatkan Hari Kemerdekaan untuk mengelirukan rakyat.

“Sepatutnya Hari Kemerdekaan kita sambut bersama walaupun berbeza fahaman politik.

“Namun, sekarang pembangkang sengaja menjadikan Hari Kemerdekaan sebagai isu.

“Ia merupakan perkara yang tidak sihat,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyampaian Cek ‘Touch Point’ (Siri Ke-3) dan Cek Projek Kecil Luar Bandar (MRP) Parlimen Santubong di sini, semalam.

Wan Junaidi menjelaskan, Hari Kemerdekaan harus disambut setiap rakyat Malaysia yang mencintai negara ini.

“Jangan mengikut fahaman politik semasa hendak menyambut Hari Kemerdekaan,” ujarnya.

Menurutnya, sepanjang 55 tahun negara merdeka, pelbagai kemajuan dicapai dalam pelbagai bidang.

“Malah, banyak negara lain yang mencapai kemerdekaan sebelum kita (Malaysia) namun masih terumbang-ambing untuk membangunkan negara masing-masing.

“Apa (kemajuan) yang dicapai di Malaysia adalah disebabkan pemimpin kita bertindak dengan cemerlang menerusi perancangan holistik,” jelasnya.

Beliau berkata, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berjaya melaksanakan pelbagai pembangunan di seluruh negara meskipun berdepan dengan pelbagai cabaran.

“Cabaran yang diterima Perdana Menteri bukan mudah kerana melibatkan persaingan politik dan keadaan ekonomi dunia yang tidak menentu,” kata Wan Junaidi.

Pada majlis penyampaian semalam, seramai 170 penerima mendapat cek ‘touch point’ dan cek MRP bernilai RM491,050.

Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Damai Dr Abdul Rahman Junaidi dan Pemanca Kuching Utara Rashidi Junai.

Print Friendly

To enable your comment to be published, please refrain from vulgar language, insidious, seditious or slanderous remarks. This includes vulgar user names.

Comments are closed.