Home - Utusan Borneo - Berita Tempatan - Pemuda Balai Ringin kurang senang kenyataan ADUN

Pemuda Balai Ringin kurang senang kenyataan ADUN

Posted on August 12, 2012, Sunday

BALAI RINGIN: Kenyataan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balai Ringin yang disiarkan dalam akhbar tempatan berbahasa Inggeris pada 8 Ogos lalu menimbulkan rasa kurang senang ahli Pemuda Parti Rakyat Sarawak (PRS) Bahagian Balai Ringin sendiri.

Menurut Ketua Pergerakan Pemuda PRS Balai Ringin Tuai Rumah Alex Libau, kenyataan wakil rakyat itu amat menjengkelkan kerana Pemuda PRS dan rakyat di kawasan Balai Ringin tahu dalang sebenar di sebalik pensabotaj program kerajaan dari dalam parti itu sendiri.

“Siapa sabotaj siapa? Bagi kami pensabotaj program kerajaan dari dalam PRS selama ini adalah wakil rakyat yang mengeluarkan kenyataan itu,” katanya kepada Utusan Borneo di sini, semalam.

Alex mendakwa bahawa wakil rakyat itu yang telah mensabotaj beberapa program kerajaan Barisan Nasional (BN) yang dihadiri Ahli Parlimen Sri Aman Masir Kujat sejak tiga bulan lalu.

Menurutnya, sebaliknya wakil rakyat itu sendiri dipercayai telah mengarahkan Penghulu Pelie (yang dilantik olehnya sebelum itu) untuk menghalang para tuai rumah atau ahli Biro Wanita menghadiri program kerajaan BN yang dirasmikan oleh Masir di kawasan Balai Ringin selama ini.

Antara program yang disabotaj oleh wakil rakyat itu ialah Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Ensebang Kuari, program anjuran Jabatan Penerangan di Kampung Gawang Lama, Program Pemimpin Bersama Rakyat di Spaoh Raba, Simunjan, Menteri Muda daripada PRS di Rumah Forman, Ensebang Burak (John Sikie dan Masir) dan Rumah Ngulu, Empaling Pantu (Datuk Mong Dagang dan Masir), jelas beliau.

“Usaha sabotaj beberapa program itu secara tidak langsung membuktikan ADUN Balai Ringin itu sudah menyimpang dari segi pergaulan dengan rakan dalam PRS sendiri”, katanya.

Alex mendakwa, wakil rakyat itu sebaliknya lebih mementingkan program yang direka khas untuk mengangkat ayah beliau sendiri untuk bertanding menentang calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Parlimen Sri Aman pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) akan datang.

Sehubungan itu beliau menyeru semua ahli PRS di kawasan Parlimen Sri Aman terutama DUN Balai Ringin untuk sama-sama menyokong calon BN yang bakal bertanding pada PRU13 nanti.

Print Friendly

To enable your comment to be published, please refrain from vulgar language, insidious, seditious or slanderous remarks. This includes vulgar user names.