Home - Utusan Borneo - Berita Tempatan - Pengunduran Chin dimaklumi
Pengunduran Chin dimaklumi
by Sandy Mark Luna. Posted on August 12, 2012, Sunday
Taib mengetahuinya berdasarkan beberapa bayangan pada masa lampau
KUCHING: Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud sudah sedia maklum akan pengunduran Ahli Parlimen Miri Datuk Seri Peter Chin berdasarkan beberapa bayangan pada masa lampau.
Taib yang juga Pengerusi Barisan Nasional Sarawak percaya, Chin telah memikirkan perkara itu semasak-masaknya sebelum mengumumkan keputusan berundur daripada mempertahankan kerusinya Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) kelak.
“Saya tidak tahu bagaimana mahu bertindak balas kerana beliau lebih wajar menghakimi (keputusan tersebut).
“(Namun) saya pernah menerima beberapa petunjuk daripada beliau suatu ketika dahulu, dalam penggal ini… jadi saya rasa beliau lebih mengetahui apa yang perlu dilakukan,” katanya ketika ditemui pemberita di VIP Lounge Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching di sini, semalam.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pengunduran Chin daripada mempertahankan kerusi Parlimen Miri pada PRU13 akan datang pada Khamis lepas.
Chin yang juga Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air akan menyerahkan surat pengunduran rasmi kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak selaku pengerusi BN Pusat.
Ahli Parlimen Miri sejak tahun 1986 itu turut menyandang jawatan sebagai Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) selepas Perhimpunan Tiga Tahun Sekali (TGA) parti pada Disember tahun lepas.
Beliau turut membayangkan bahawa Setiausaha Politiknya Datuk Sebastian Ting bakal menjadi penggantinya memandangkan prestasi baik yang ditunjukkan ketika melakukan tugas bagi mewakilinya.
Daripada jumlah 31 kerusi Parlimen di Sarawak, SUPP diperuntukkan tujuh kerusi iaitu Miri, Sibu, Lanang, Sarikei, Serian, Stampin dan Bandar Kuching.
Bagaimanapun, kerusi Bandar Kuching dan Sibu masing-masing berjaya dirampas oleh Parti Tindakan Demokratik (DAP) pada Pilihan Raya Umum 2008 dan Pilihan Raya Kecil 2009.
<< Previous Entry - Next Entry >>
Advertisement





