GTP 2.0 di ambang meningkatkan transformasi sosioekonomi Sabah

0

KOTA KINABALU: Program Transformasi Kerajaan (GTP) 2.0 kini di ambang meningkatkan lagi transformasi sosioekonomi Sabah, melalui penyertaan lebih banyak pertubuhan bukan kerajaan dan sektor korporat.

Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman berkata, GTP 2.0 bermatlamat menangani peningkatan kos hidup, meningkatkan standard pembangunan luar bandar serta untuk menaikkan standard hidup golongan isi rumah berpendapatan rendah.

“Inisiatif baharu di bawah pelan cadangan ini yang menarik minat kami ialah Kampung Kurun Ke-21 yang memberi fokus kepada pembangunan industri pertanian, pelancongan, perladangan dan kampung,” katanya pada Hari Terbuka Pelan Halatuju Program Transformasi Negara 2.0) di sini semalam.

Musa, yang juga Menteri Kewangan Negeri, berkata inisiatif GTP yang dilaksanakan sejak tiga tahun lepas telah menghasilkan impak yang besar terhadap rakyat Sabah.

Katanya di bawah Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) Infrastruktur Asas Luar bandar, kampung-kampung di kawasan luar bandar kini telah dihubungkan dengan baik yang membolehkan kerajaan negeri membekalkan air dan elektrik kepada mereka.

“Ia telah memperkayakan kehidupan mereka dan menawarkan peluang baharu dan yang sama rata sebagai rakyat Malaysia. Sambil banyak telah dicapai di bawah GTP sehingga ini, kita janganlah berpuas hati dan perlu terus mencetuskan inovasi.”

“Inilah peranan GTP 2.0 … ia direka bentuk untuk meneruskan pencapaian program awal ke tahap lebih tinggi,” katanya.

Mengenai Koridor Pembangunan (SDC) yang dilancarkan sejak 2008, katanya ia telah menarik RM112 bilion di segi pelaburan terancang.

“Ini adalah petunjuk jelas bahawa penjajaran GTP, Rancangan Malaysia Ke-sepuluh (RMK10) dan SDC berjaya meningkatkan iklim pelaburan negeri ini.

“Pelaburan di Sabah telah melonjak. Pelabur baharu termasuk Agensi Pelaburan Brunei di dalam Projek Pusat Ternakan bersepadu Keningau dan Darden Group dari AS.

“Saya diberitahu bahawa Lembaga Pembangunan Ekonomi dan Pelaburan Sabah terus menerima banyak cadangkan pelaburan baharu di dalam SDC” katanya. — Bernama